Ahad, 31 Mei 2009

Majlis Perkahwinan Ahli PPTI

Pada hari Ahad, 31 Mei 2009 bersamaan 6 Jamadialakhir 1430 Hijrah salah seorang ahli Persatuan Penduduk Taman Ixora (Puan Rabitah Bt. Mohamed Mokhtar) telah melangsungkan Majlis Perkahwinan dengan (YM Tengku Abdul Rahman Bin Tengku Ja'afar). Majlis berkenaan telah diadakan di rumah beliau No. 18, Jalan Ixora 1/12, Taman Ixora.

Semua ahli Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah dan mendoakan semoga rumahtangga yang dibina berkekalan sehingga ke akhir hayat. Amin.

Sila klik di sini untuk melihat gambar semasa majlis berkenaan diadakan.

Majlis Bacaan Yasin Dan Tahlil Jalan Ixora 1/11

Pada 30 Mei 2009 jam 9.15 malam, penduduk Jalan Ixora 1/11 telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil di rumah En. MUHAMMAD IQBAL ASYRAN BIN MOHD SAID (No. 19, Jalan Ixora 1/11). Majlis berkenaan adalah merupakan aktiviti bulanan penduduk Jalan Ixora 1/11 secara bergilir-gilir setiap bulan. Aktiviti berkenaan diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dikalangan penduduk dengan aktiviti kerohanian dan memohon keberkatan daripada Allah S.W.T agar kehidupan kita seharian dirahmati Allah selalu hendaknya.

Pada majlis berkenaan juga Persatuan Penduduk Taman Ixora diwakili oleh Setiausaha dan 2 orang AJK telah menyerahkan sumbangan berbentuk hamper kepada keluarga En. MUHAMMAD IQBAL ASYRAN BIN MOHD SAID di atas kelahiran cahayamata ketiga beliau pada 30 Mac 2009 di Pusat Perubatan Naluri, Wangsa Maju. Bayi lelaki berkenaan diberi nama Muaz Mustaqim. Semua ahli persatuan mengucapkan tahniah dan berdoa semoga anak yang dilahirkan tergolong dikalangan anak yang soleh. Amin.


Sila klik di sini untuk melihat gambar semasa majlis berkenaan diadakan.

Isnin, 25 Mei 2009

Ulang Tahun Pertama Penubuhan Persatuan Penduduk Taman Ixora (PPTI)

Persatuan Penduduk Taman Ixora akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang pertama pada 26 Mei 2009 (Selasa). Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora bagi Sesi 2009/2010 mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada semua individu yang terlibat sehingga tertubuhnya persatuan ini. Walaupun pada peringkat permulaannya pelbagai masalah dihadapi namun dengan usaha gigih individu yang terlibat semua masalah dapat ditangani dengan jayanya.

Satu Majlis Kesyukuran akan diadakan untuk memohon keberkatan daripada Allah S.W.T. supaya persatuan yang ditubuhkan ini khususnya dan penduduk Taman Ixora secara umumnya dirahmati dan diberkati serta dijauhkan daripada musibah. Hebahan mengenai majlis berkenaan akan dimaklumkan kepada ahli dalam waktu terdekat.

InsyaAllah.

Ceramah Pencegahan Jenayah Dan Majlis Dialog Bersama Penduduk Taman Ixora Dan PDRM

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menganjurkan program Ceramah Pencegahan Jenayah Dan Majlis Dialog Bersama Penduduk Taman Ixora Dan Polis Diraja Malaysia pada tarikh dan tempat seperti berikut:-

Tarikh : 24 Mei 2009 (Ahad)
Masa : 9.00 Pagi - 11.30 Pagi
Tempat : Taman Permainan Kanak-Kanak, Taman Ixora
Dirasmikan Oleh : Tuan Haji Ramlan Bin Sajadi, Ahli Majlis Zon Sepang Putra

Diantara objektif program ialah:
1. Merapatkan hubungan diantara penduduk Taman Ixora dan PDRM.
2. Mewujudkan jaringan perhubungan yang bersepadu diantara penduduk dan Polis untuk membendung dan mengatasi jenayah di Taman Ixora.
3. Memberikan peluang kepada penduduk untuk menyuarakan pendapat dan pandangan terhadap Polis.
4. Memberikan pendedahan kepada penduduk bentuk dan kejadian jenayah serta statistik terkini jenayah di daerah Sepang.

Beberapa kaunter dan ruang pameran turut disediakan:
1. Ruang Pameran Jenayah PDRM
2. Ruang Pameran Narkotik PDRM
3. Ruang Pameran Trafik PDRM
4. Ruang Pameran Dan Pendaftaran Rakan Cop
5. Kaunter Keahlian dan Pembayaran Yuran PPTI

Penyertaan penduduk Taman Ixora amat menggalakkan dan pihak Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan Majlis Perbandaran Sepang dalam menjayakan program ini.

Program yang dianjurkan ini telah mendapat liputan daripada Akhbar Sinar Harian. Terima kasih diucapkan kepada Cik Siti Azielah Wahi - 019-2650825 (Skuad Cakna Daerah Sepang).

Sila klik di sini untuk melihat gambar semasa program berkenaan.

Sabtu, 23 Mei 2009

Insiden Ahli PPTI Terlibat Dengan Kemalangan Jalan Raya

Pada 23 Mei 2009 (Sabtu), jam 8.00 pagi salah seorang ahli Persatuan Penduduk Taman Ixora (En. MOHAMMAD SYAMSINAR BIN JAAIFAR, No. 7, Jalan 1/2) telah terlibat dengan kemalangan jalan raya. Lokasi kejadian adalah di persimpangan lampu isyarat Taman Seroja. Kereta Perodua Kancil yang beliau pandu telah berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Kancil dari arah bertentangan di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Dimaklumkan beliau dalam perjalanan ke tempat kerja. Alhamdulillah beliau tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius. Penduduk Taman Ixora adalah dinasihati supaya berhati-hati di jalanraya kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dengan sedikit kecuaian daripada kita sendiri atau kecuaian orang lain.

Sila klik di sini untuk melihat gambar kejadian di lokasi berkenaan.

Rabu, 20 Mei 2009

Majlis Bacaan Yasin Dan Tazkirah Kaum Ibu Kali Ke-5

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan majlis bacaan yasin dan tazkirah kaum ibu kali ke-5 pada tarikh dan tempat seperti berikut:

Tarikh : 23 Mei 2009 (Sabtu)
Masa : 2.30 Petang - 4.30 Petang
Tempat : No. 32, Jalan Ixora 1/11, Taman Ixora (Rumah Hajjah Noraini)

Objektif program
1. Mengeratkan silaturrahim antara semua kaum ibu di Taman Ixora.
2. Berbincang mengenai aktiviti-aktiviti yang dapat dilaksanakan bagi manfaat bersama.
3. Memohon keberkatan daripada Allah S.W.T untuk kesejahteraan penduduk Taman Ixora.

Alhamdulillah penyertaan daripada kaum ibu amat menggalakkan. InsyaAllah program ini akan diadakan lagi pada bulan hadapan.

Isnin, 18 Mei 2009

Program Kitar Semula Di Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menganjurkan Program Kitar Semula di Taman Ixora pada tarikh dan tempat seperti berikut:-

Tarikh : 16 Mei (Sabtu) dan 17 Mei 2009 (Ahad)
Masa : 9.00 Pagi - 11.00 Pagi
Tempat Pengumpulan Barangan : No. 13, Jalan Ixora 1/13, Taman Ixora

Diantara objektif program :-
1. Fikir dulu sebelum buang. Menjadikan amalan mengitar semula sebagai sebahagian budaya hidup penduduk Taman Ixora.
2. Mengumpul barangan yang boleh dikitar semula untuk dijual bagi menjana sumber pendapatan persatuan.

Sambutan yang diterima daripada ahli persatuan amat menggalakkan. Seramai 30 orang ahli persatuan telah mengambil bahagian dengan menyumbangkan barangan yang boleh dikitar semula seperti botol plastik, tin aluminium, kertas dan barangan kaca untuk dikumpulkan dan dijual kepada syarikat Alam Flora.

Diantara barangan yang berjaya dikumpulkan adalah seperti berikut:-
1. 300kg surat khabar
2. 40kg plastik
3. 30kg besi
4. 5kg tin aluminium
5. 50kg kotak
6. 10kg majalah

Persatuan mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada ahli persatuan yang telah mengambil bahagian. Semoga dengan kesedaran mengenai program kitar semula ini dapat membantu menjimatkan tempat pembuangan sampah disamping mendapatkan pulangan wang daripada barangan yang disumbangkan. Sumbangan anda amatlah dihargai. InsyaAllah program ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan secara 2 bulan sekali.

Sila klik di sini untuk melihat gambar semasa program berkenaan.

Isnin, 11 Mei 2009

Aduan Kerosakan Jalan Di Perumahan Taman Ixora

Majlis Perbandaran Sepang sedang mengumpulkan maklumat kerosakan jalan di kawasan perumahan Majlis Perbandaran Sepang. Sehubungan dengan itu penduduk yang mempunyai maklumat mengenai kerosakan jalan disetiap lorong dan jalan di Taman Ixora bolehlah memberikan maklumat diruangan 'comments' untuk disalurkan kepada MPSp. Jalan yang rosak akan diperbaiki dengan kadar segera. Gambar lokasi kerosakan akan diambil berdasarkan maklumat daripada penduduk.

Sila berikan maklumat seperti no. lorong, no. rumah berhampiran dan jenis kerosakan sebelum atau pada 13 Mei 2009 (Rabu). Kerjasama anda memberikan maklumat amatlah dihargai.

Beberapa jalan telah dikenalpasti. Sila klik di sini untuk melihat gambar kerosakan jalan berkenaan.

Ahad, 10 Mei 2009

Gangguan Bekalan Air Di Taman Ixora

SYABAS sedang giat menjalankan pelbagai program untuk meningkatkan kualiti air yang dibekalkan ke premis penduduk, salah satunya adalah kerja-kerja pencucian paip agihan.

Dimaklumkan bahawa kerja-kerja pencucian paip agihan tersebut akan dijalankan di Taman Ixora dan gangguan bekalan air akan berlaku. Kerjasama dan perhatian penduduk amat diperlukan. Butiran gangguan seperti berikut:

Tarikh : 15 Mei 2009 (Jumaat)
Waktu Gangguan : 10.00 Pagi - 6.00 Petang

Perhatian:
1. Sila tutup injap masuk (stopcock) sebelum meter, semasa gangguan tersebut untuk mengelakkan kemungkinan mendapan dalam sistem paip retikulasi masuk ke sistem paip di premis penduduk.
2. Sila pastikan tiada sebarang kenderaan diletakkan berhampiran dengan pili bomba dan kerja-kerja pencucian paip yang akan dijalankan.
3. Adalah diharapkan pihak penduduk dapat menyimpan bekalan air secukupnya untuk kegunaan semasa gangguan bekalan air tersebut.
4. Selepas kerja-kerja pencucian paip dijalankan, pihak penduduk dinasihatkan membuka pili paip di sinki dapur atau pili yang disambungkan terus dari meter air sejurus selepas injap masuk dibuka selama 30 - 60 saat untuk membuang mendapan yang mungkin berada di paip komunikasi disebabkan kerja-kerja pencucian paip tersebut.

Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi : PUSPEL CENTER 1-800-88-5252

Sabtu, 9 Mei 2009

Kemaskini Emel Ahli Persatuan

Persatuan Penduduk Taman Ixora sedang mengemaskini maklumat emel semua ahli persatuan. Ini adalah untuk memudahkan perhubungan dan hebahan mengenai makluman, berita terkini dan aktiviti yang akan dijalankan dari semasa ke semasa.

Semua ahli diminta memaklumkan alamat emel yang selalu digunakan kepada tamanixora@gmail.com dengan menyatakan:

1. Nama Ahli :
2. No. Rumah :
3. No. Jalan :
4. Emel :

Kerjasama daripada semua ahli persatuan amatlah dihargai. Terima kasih.

Jumaat, 8 Mei 2009

Keputusan Pertandingan Taman Tercantik Daerah Sepang

Adalah dimaklumkan pemenang pertandingan taman tercantik di daerah Sepang telah diumumkan oleh Majlis Perbandaran Sepang pada mesyuarat bertarikh 7 Mei 2009. Sebanyak 29 taman perumahan telah menyertai pertandingan berkenaan.

Taman Desa Makmur, Sungai Merab telah memenangi pertandingan tersebut dengan memperolehi 182.5 markah. Taman Ixora memperolehi 118.5 markah. Lawatan panel penilai ke Taman Ixora telah dilakukan pada 26 Februari 2009 jam 10.30 - 11.30 pagi.

Perincian markah yang diperolehi oleh Taman Ixora adalah seperti berikut:-
1. Kawasan Rumah - 12/20
2. Lanskap - 14/20
3. Sampah - 17/20
4. Longkang - 16/20
5. Jalan - 17/20
6. Taman Permainan - 15/20
7. Lampu Jalan - 16.5/20
8. Kejiranan - 3/20
9. Persatuan Penduduk - 7/20
10. Aktiviti Persatuan/Penduduk - 1/20

Perincian markah bagi Taman Desa Makmur adalah seperti berikut:-
1. Kawasan Rumah - 18/20
2. Lanskap - 18/20
3. Sampah - 19/20
4. Longkang - 18/20
5. Jalan - 18/20
6. Taman Permainan - 14.5/20
7. Lampu Jalan - 17/20
8. Kejiranan - 20/20
9. Persatuan Penduduk - 20/20
10. Aktiviti Persatuan/Penduduk - 20/20

Walaubagaimanapun terima kasih diucapkan kepada semua penduduk Taman Ixora yang terlibat. Terdapat beberapa kriteria pertandingan yang perlu ditingkatkan atau diperbaiki oleh penduduk Taman Ixora. InsyaAllah kita akan cuba lagi pada tahun depan.

Persatuan mencadangkan supaya diadakan sesi lawatan ke Taman Desa Makmur untuk mendapat inspirasi, idea, cadangan dan contoh untuk mencantikkan Taman Ixora pada masa hadapan. Seterusnya membuat persediaan awal menghadapi pertandingan pada masa akan datang.

Gangguan Bekalan Elektrik di Taman Ixora Dan Kawasan Sekitar

Pada 7 Mei 2009 jam 6.30 petang hingga 9.30 malam, berlaku gangguan bekalan elektrik di Taman Ixora dan kawasan sekitar. Setelah menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan Tenaga Nasional Berhad di talian 15454 pada 8 Mei 2009, jam 12.30 tengahari, adalah dimaklumkan masalah berkenaan disebabkan oleh kerosakan kabel elektrik di Pencawang Utama Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Terima kasih diucapkan kepada pihak TNB yang telah dapat menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh tiga jam sahaja.

Isnin, 4 Mei 2009

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PPTI Bil. 6/2009

Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan mesyuarat pada 3 Mei 2009 dan membuat beberapa keputusan berikut:-

1. Membuka akaun semasa Maybank Islamic untuk urusan kewangan persatuan.
2. Meluluskan cadangan pembayaran yuran keahlian secara online transfer melalui Maybank2U bagi kemudahan pembayaran yuran oleh ahli persatuan. Surat edaran akan dikeluarkan kepada ahli untuk memaklumkan nombor akaun dan cara pembayaran.
3. Mengedarkan borang penyertaan Takaful Keluarga Berkumpulan (Khairat Kematian), Takaful Ikhlas kepada semua ahli persatuan. Surat edaran menjelaskan skim berkenaan akan dikeluarkan.
4. Mengucapkan terima kasih kepada Getrahome Sdn. Bhd. yang telah menyumbangkan jersi untuk pasukan Futsal Taman Ixora.
5. Menganjurkan Kursus Pembangunan Laman Blog bertempat di Mirza Cyber-Tech Cafe, Kosmopleks, BBST pada 10 Mei 2009.
6. Menganjurkan Program Kitar Semula di Taman Ixora pada 16 Mei 2009 bertempat di Taman Permainan Kanak-Kanak, Taman Ixora.
7. Mengadakan Ceramah Pencegahan Jenayah dan Majlis Dialog Bersama Penduduk Taman Ixora dan Polis Diraja Malaysia pada 24 Mei 2009 bertempat di Taman Permainan Kanak-Kanak, Taman Ixora.
8. Mengadakan Majlis Bacaan Yasin kaum ibu ahli persatuan pada 23 Mei 2009 bertempat di rumah Puan Noraini (No. 32, Jalan 1/11).
9. Mengadakan Kursus Motivasi Untuk Pelajar UPSR bagi penduduk di sekitar taman-taman perumahan Bandar Baru Salak Tinggi pada 20 dan 21 Jun 2009.
10. Menganjurkan Pertandingan Boling Taman Ixora Tahun 2009 pada 28 Jun 2009 bertempat di ARL Bowl, Alamanda, Putrajaya.
11. Menangguhkan pelaksanaan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bil. 1/2009 untuk memberikan sumbangan kewangan atau hamper kepada ahli persatuan yang menerima kelahiran cahayamata, kemasukan ke hospital, kes pecah rumah, kecurian dan ditimpa musibah kecuali bagi kes kematian ahli atau ahli keluarga. Ini adalah kerana sumber kewangan persatuan tidak dapat menampung perbelanjaan bagi sumbangan berkenaan. Keputusan ini berkuatkuasa mulai 1 Mei 2009. Walaubagaimanapun keputusan ini akan dikaji semula setelah sumber kewangan persatuan mengizinkan.

Sumbangan Persatuan Bagi Kemasukan ke Hospital

Pada hari Isnin, 4 Mei 2009 jam 6.30 petang, Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora diwakili oleh Pengerusi, Setiausaha, seorang Ahli Jawatankuasa dan 3 orang ahli telah berkunjung ke rumah En. Zainal Abidin Bin Ahmad di No. 6, Jalan Ixora 1/2 untuk bertanya khabar mengenai kesihatan beliau. Beliau telah dimasukkan ke KPJ Healthcare Seremban pada 28 April 2009 sehingga 2 Mei 2009 kerana rawatan pinggang dan belakang badan.

Alhamdulillah beliau telah beransur pulih selepas menjalani rawatan terapi dan memaklumkan doktor telah memberikan cuti rehat selama satu minggu. Semua ahli persatuan mendoakan semoga beliau cepat sembuh dan dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa. Persatuan telah memberikan sumbangan berbentuk hamper kepada beliau dan berharap semoga kunjungan ikhlas ke rumah beliau dapat merapatkan lagi ukhuwah dikalangan ahli persatuan.