Isnin, 23 April 2012

Lagi Kejadian Pecah Rumah di Taman Ixora

Satu lagi kejadian pecah rumah dan samun telah berlaku di rumah No. 25, Jalan Ixora 1/5, Taman Ixora pada 21 April 2012 (Sabtu), jam 2.30 pagi. Penghuni rumah berkenaan telah diikat oleh tiga(3) orang penyamun. Dilaporkan kehilangan sejumlah harta benda termasuk barang kemas. Kejadian berkenaan telah dilaporkan kepada pihak POLIS yang tiba sejurus kemudian bersama Unit K9 (anjing pengesan). Pihak POLIS telah melakukan serbuan ke kawasan hutan berhampiran. Kejadian berkenaan turut disedari oleh penduduk yang menjalankan rondaan Skim Rondaan Sukarela, Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora. Penduduk yang bertugas pada malam itu turut membantu pihak POLIS semasa kejadian berlaku.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengajak penduduk Taman Ixora supaya sentiasa berhati-hati mengenai soal keselamatan. Sentiasa memastikan rumah berkunci dan berwaspada dengan individu yang berada di sekitar kawasan rumah atau jiran berdekatan. Laporkan kepada pihak POLIS sekiranya terdapat keadaan yang mencurigakan.

Progres Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora Sehingga 25 April 2012

Status semasa : Kerja-kerja simen render tapak belakang surau.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.
 

Ahad, 15 April 2012

Gotong Royong Kawalan Wabak Denggi Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah mengadakan program Gotong-Royong Kawalan Wabak Denggi seperti butiran berikut:

Tarikh : 15 April 2012 (Ahad)
Masa : 8.30 Pagi
Tempat Berkumpul : Dataran Serbaguna Taman Ixora
Dirasmikan Oleh : En. Foo Weng Fui (Ahli Majlis Zon BBST Selatan)

Program ini mendapat kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah Sepang dan Majlis Perbandaran Sepang. Pejabat Kesihatan Daerah Sepang telah mengadakan pameran dan menyampaikan ceramah mengenai kawalan dan pencegahan denggi kepada penduduk Taman Ixora. Majlis Perbandaran Sepang telah menyediakan lori sampah dan beberapa orang pekerja untuk membantu penduduk semasa kerja-kerja gotong-royong dijalankan.

Program ini diadakan berikutan terdapat dua(2) kes demam denggi yang dilaporkan di kejiranan Taman Ixora dan Pejabat Kesihatan Daerah Sepang telah mengisytiharkan Taman Ixora sebagai kawasan wabak denggi.

Walaupun program ini kurang mendapat sambutan daripada penduduk Taman Ixora, sedikit sebanyak dapat mencegah kes demam denggi daripada menjadi lebih tidak terkawal di Taman Ixora.Penduduk Taman Ixora dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan kawasan rumah dengan mengambil masa 10 minit seminggu untuk membersihkan kawasan rumah daripada bekas/ sampah yang boleh menakung air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Pelancaran Fasa Baru Perumahan di Taman Ixora

Getrahome Sdn. Bhd. telah mengadakan majlis pelancaraan fasa baru perumahan di Taman Ixora yang dinamakan Ixora Hill Park pada 14 dan 15 April 2012. Beberapa tawaran eksklusif disediakan oleh pemaju iaitu:
- Yuran guaman S.P.A. ditanggung oleh pemaju
- Pemberian rebat pada hari pelancaran sahaja
- Laman belakang seluas 20 kaki
- Rekabentuk yang moden kontemporari
- Luas binaan dari 2,098 kps

Rumah Berkembar 2 Tingkat (D'Amra)
- Luas Tanah 35' X 70' - 80'
- Luas Binaan 2,098 kps
- Jumlah Unit 54
- Harga Dari RM 468,888


Rumah Teres 2 Tingkat (D'Bayu)
- Luas Tanah 20' X 65'
- Luas Binaan 2,101 kps
- Jumlah Unit 60
- Harga Dari RM 255,888

Untuk mendapatkan maklumat lanjut sila layari laman web Getrahome Sdn. Bhd.

Pemasangan Bekalan Air dan Meter Air Surau Balai Islam Taman Ixora Oleh Syabas

SYABAS Wilayah Sepang telah menyambungkan bekalan air dan memasang meter air di Surau Balai Islam Taman Ixora pada 14 April 2012. Berikut adalah maklumat akaun:

No. Akaun : 90 0013359401 1
No. Meter Air : SYA11P0218314
Nama Akaun : Surau Balai Islam
Alamat : Jalan Ixora 1/15, Taman Ixora, Bandar Baru Salak Tinggi, 43900 Sepang, Selangor 

Jumaat, 13 April 2012

Kejadian Pecah Rumah di Taman Ixora

Pada 12 April 2012 (Khamis), berlaku empat (4) kejadian pecah rumah di kejiranan Taman Ixora. Rumah penduduk yang terlibat adalah rumah No. 4, 6 dan 10 Jalan Ixora 1/17 dan rumah No. 5 Jalan Ixora 1/13. Sejumlah kerugian harta benda dilaporkan oleh pemilik rumah. Diantara barangan yang dilaporkan hilang adalah barang kemas, TV LCD 52 inci, TV LCD 42 inci dan beberapa barangan lain. Semasa kejadian berlaku, semua pemilik rumah tiada di rumah kerana keluar bekerja. Kejadian disedari oleh penduduk selepas pulang bekerja. Pihak POLIS yang melawat tempat kejadian menjangkakan kejadian berlaku di antara jam 11.00 pagi hingga jam 2.00 petang.

Persatuan Penduduk Taman Ixora menyeru supaya semua penduduk Taman Ixora mengambil langkah keselamatan dan berjaga-jaga dengan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku. Sentiasa berwaspada dengan kenderaan dan individu yang mencurigakan berlegar-legar di kawasan persekitaran rumah anda. Laporkan kepada pihak POLIS dan maklumkan jiran sekitar rumah anda.

Khamis, 12 April 2012

Taman Ixora Diisytihar Kawasan Wabak Denggi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Sepang

Pejabat Kesihatan Daerah Sepang telah mengisytiharkan Taman Ixora sebagai kawasan wabak denggi mulai 9 hingga 15 April 2012. Ini adalah berikutan terdapat dua(2) kes demam denggi yang dirujuk ke Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya berturut-turut dalam satu minggu. Sehubungan dengan itu Pejabat Kesihatan Daerah Sepang telah melakukan semburan nyamuk di Jalan Ixora 1/3, 1/5 dan 1/6.

Pejabat Kesihatan Daerah Sepang turut menasihatkan penduduk supaya menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes dengan melakukan aktiviti gotong-royong atau sebagainya sebelum kes menjadi lebih serius lagi pada masa akan datang.

Selasa, 3 April 2012

Progres Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora Sehingga 3 April 2012


Status semasa : Kerja-kerja lanskap, penurapan jalan dan pemasangan pagar.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.