Selasa, 21 Julai 2009

Ahli PPTI Diserang Angin Ahmar

Adalah dimaklumkan salah seorang ahli Persatuan Penduduk Taman Ixora, En. ISMAIL BIN ZAKARIA (No. 18, Jalan Ixora 1/13) telah dimasukkan ke Hospital Putrajaya pada hari Rabu (15 Julai 2009) kerana diserang Angin Ahmar. Beliau telah mengalami lumpuh sebelah kiri badan. Setelah menjalani rawatan di hospital beliau telah dibenarkan keluar wad pada hari Isnin (20 Julai 2009).

Kepada semua ahli PPTI yang mempunyai kelapangan bolehlah melawat beliau di rumah. PPTI mendoakan semoga beliau cepat sembuh dan dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa. InsyaAllah.

Isnin, 20 Julai 2009

Malam Kecerian Jalan 1/2

Pada 19 Julai 2009 (Ahad) jam 8.30 malam, penduduk Jalan 1/2 telah menganjurkan Malam Keceriaan Jalan 1/2. Program pada malam berkenaan adalah bacaan doa, ucapan Ketua Lorong dan jamuan barbeque. Ketua Lorong mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada penduduk yang turut serta dan memohon maaf sekiranya persiapan dan makanan yang disediakan tidak seberapa. Dimaklumkan penduduk telah membuat kutipan RM30.00 bagi setiap keluarga untuk menampung kos penganjuran program berkenaan.

Diantara objektif program adalah:-
1. Merapatkan hubungan silaturrahim di antara keluarga penduduk Lorong 1/2
2. Menyemaikan semangat gotong-royong dikalangan penduduk semasa persediaan tempat, peralatan dan menyediakan masakan
3. Berbincang aktiviti yang akan dilaksanakan pada masa hadapan untuk merapatkan lagi silaturrahim dan semangat kerjasama dikalangan penduduk

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah kepada penduduk Lorong 1/2 yang telah menganjurkan program berkenaan dengan jayanya. Semoga program seperti ini diadakan juga oleh lorong-lorong lain untuk merapatkan hubungan kekeluargaan di antara kita.

Program berkenaan berakhir pada jam 10.30 malam.

Sila klik di sini untuk melihat gambar semasa program berkenaan.

Jumaat, 17 Julai 2009

Ekspedisi Mendaki Puncak Kinabalu

Pada 10 - 13 Julai 2009, seorang ahli Persatuan Penduduk Taman Ixora (En. KAMARUAL RASIDI BIN ABDUL RASHID, No. 1, Jalan 1/2) telah mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu. Ekspedisi berkenaan telah disertai oleh 24 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan syarikat Air Asia Berhad.

Berikut adalah jadual ekspedisi pendakian berkenaan :
- 10 Julai (Jumaat) jam 6.50 pagi - Bertolak dari LCCT Sepang ke Kota Kinabalu
- 11 Julai (Sabtu) jam 8.00 pagi - Mula pendakian dari Mesilau ke Laban Rata. Tiba di Laban Rata jam 5.00 petang
- 12 Julai (Ahad) jam 2.45 pagi - Mula mendaki puncak Kinabalu dari Laban Rata. Tiba di puncak Kinabalu jam 5.30 pagi. Meluangkan masa selama setengah jam di puncak Kinabalu
- 12 Julai (Ahad) jam 6.00 pagi - Mula menuruni puncak Kinabalu. Tiba di Laban Rata jam 9.00 pagi. Berehat sebentar di Laban Rata.
- 12 Julai (Ahad) jam 9.00 pagi - Mula turun dari Laban Rata ke Mesilau. Tiba di Mesilau jam 5.00 petang.
- 13 Julai (Isnin) jam 12.00 tengahari - Bertolak dari Kota Kinabalu ke LCCT Sepang.

Beliau telah menceritakan sedikit pengalaman semasa mengikuti ekspedisi berkenaan.
1. Kekuatan mental dan fizikal serta keadaan cuaca dan nasib mempengaruhi kejayaan ekspedisi berkenaan.
2. Semangat setiakawan dan berpasukan merupakan pendorong yang utama untuk menghadapi cabaran mendaki puncak Kinabalu.
3. Suasana yang berangin, berkabus dan temperature 3 darjah celcius merupakan dugaan yang hebat yang harus ditempuhi.

Pengerusi persatuan penduduk dan beberapa ahli persatuan di Jalan Ixora 1/2 telah memberikan semangat kepada beliau untuk mengikuti ekspedisi berkenaan dan mendoakan supaya beliau sampai di puncak Kinabalu dengan selamat. Alhamdulillah berkat doa dan dorongan kawan-kawan beliau telah berjaya mendaki puncak Kinabalu dengan jayanya. PPTI amat berbangga dengan kejayaan beliau.

Sekiranya mendapat penyertaan daripada penduduk, PPTI akan cuba menganjurkan program seperti ini dengan bantuan dan tunjuk ajar daripada beliau. PPTI berharap agar kesungguhan dan semangat yang ditujukkan oleh beliau menjadi pendorong kepada ahli PPTI yang lain untuk mencipta kejayaan yang boleh membanggakan diri, keluarga dan masyarakat amnya.

Sila klik di sini untuk melihat gambar semasa ekspedisi berkenaan.

Isnin, 13 Julai 2009

Kejadian Pecah Rumah Berulang Kembali

Pada 13 Julai 2009(Isnin), anggaran jam 11.00 pagi hingga 12.30 tengahari, rumah No. 142, Jalan Ixora 1/1, Taman Ixora telah dipecah masuk melalui tingkap di tingkat atas rumah. Perompak berkenaan telah menggunakan tangga untuk memasuki tingkap atas rumah berkenaan.

Dilaporkan sejumlah barang kemas dan telefon bimbit didapati hilang selepas kejadian berkenaan. Pihak polis telah menjalankan siasatan lanjut dengan menyoal siasat beberapa orang pekerja kontrak warga Indonesia yang berada di sekitar tempat kejadian. Ini adalah berdasarkan kepada tangga yang digunakan oleh perompak berkenaan adalah tangga buatan sendiri yang digunakan untuk memperbaiki kerosakan rumah yang masih di bawah tempoh waranti pemaju.

Sehubungan dengan itu, PPTI ingin menasihatkan penduduk supaya berhati-hati kerana kejadian seperti ini biasa berlaku di waktu siang hari.

Papan Kenyataan Berkunci Taman Ixora

Pada hari Khamis, 9 Julai 2009 kontraktor yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Sepang telah memasang papan kenyataan berkunci Taman Ixora. Lokasi papan tanda berkenaan adalah berhadapan Taman Permainan Kanak-Kanak, Jalan Ixora 1/2. Pemasangan papan kenyataan berkenaan adalah hasil daripada Majlis Dialog bersama wakil Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Timb. Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang pada 21 Februari 2009.

Tujuan pemasangan papan kenyataan berkenaan adalah :-
1. Menghebahkan maklumat yang perlu diketahui kepada semua penduduk Taman Ixora.
2. Mempamerkan maklumat mengenai Persatuan Penduduk Taman Ixora, aktiviti yang telah dan akan dijalankan dari semasa ke semasa.
3. Menyediakan ruang iklan kepada individu atau syarikat yang ingin menawarkan perkhidmatan kepada penduduk Taman Ixora seperti lori untuk disewa, pengubahsuaian rumah, iklan rumah untuk disewa/dijual dan sebagainya. Ini untuk mengelakkan individu/syarikat berkenaan menampal papan tanda di tiang-tiang elektrik dan pokok di sekitar Taman Ixora. Individu/syarikat yang berminat untuk mengiklankan produk/perkhidmatan bolehlah menghubungi Setiausaha (019-2828422) untuk tujuan tersebut.

Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang yang telah meluluskan pemasangan peralatan berkenaan. Semoga kerjasama yang diberikan diteruskan lagi pada masa akan datang untuk kesejahteraan penduduk Taman Ixora.

Jumaat, 3 Julai 2009

Majlis Bacaan Yasin Dan Tazkirah Kaum Ibu Kali Ke-6

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Tazkirah Kaum Ibu kali ke-6 pada tarikh dan tempat seperti berikut:

Tarikh : 4 Julai 2009 (Sabtu)
Masa : 2.30 Petang - 4.30 Petang
Tempat : Taska Permata Ixora, No. 67, Jalan Ixora 1/2, Taman Ixora

Objektif program
1. Mengeratkan silaturrahim antara semua kaum ibu di Taman Ixora.
2. Berbincang mengenai aktiviti-aktiviti yang dapat dilaksanakan bagi manfaat bersama.
3. Memohon keberkatan daripada Allah S.W.T untuk kesejahteraan penduduk Taman Ixora.