Ahad, 31 Januari 2010

Perbincangan Status Pembinaan Balai Islam di Taman Ixora Dengan Pihak Pemaju

Pada 31 Januari 2010 (Ahad), jam 12.15 tengahari satu sesi perbincangan di antara wakil Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Pemaju (Getrahome) telah diadakan bertempat di Pejabat Jualan Getrahome, Jalan Ixora 1/9. PPTI telah diwakili oleh Pengerusi, Setiausaha, Pen. Setiausaha dan 2 orang AJK manakala pemaju diwakili oleh En. Zulkifli Bin Sahar, Pengarah Pembangunan Hartanah Getrahome membincangkan mengenai status pembinaan Balai Islam di Taman Ixora. Ini adalah perbincangan kali kedua mengenai status pembinaan Balai Islam di Taman Ixora.

Berikut adalah hasil daripada perbincangan tersebut:-
1. Pemaju memaklumkan tapak Balai Islam dan Dewan Serbaguna telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Sepang.
2. Anggaran kos pembinaan Balai Islam berkenaan adalah RM100,000.
3. Kos pembinaan akan ditanggung secara bersama di antara pemaju dan sumbangan penduduk. Dicadangkan perkongsian 50:50.
4. Persatuan akan melancarkan tabung untuk mengutip sumbangan daripada orang ramai, badan korporat, Ahli Parlimen, ADUN dan sebagainya untuk mengumpulkan dana sebanyak RM50,000.
5. Persatuan akan mengemukakan surat permohonan kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai pembinaan Balai Islam di Taman Ixora. Pihak pemaju akan mengemukakan surat sokongan mengenai permohonan berkenaan.
6. Kedua-dua pihak bersetuju menetapkan anggaran siap pembinaan Balai Islam pada bulan Ogos 2010.
7. Pemaju memberi jaminan tempoh siap untuk membina sebuah Balai Islam adalah 3 bulan daripada tarikh mula pembinaan.
8. Pihak pemaju telah mengemukakan contoh pelan Cadangan Membina Sebuah Surau di Jalan Kebun, Klang, Selangor sebagai rujukan persatuan.

Perbincangan berakhir jam 1.30 petang.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Jumaat, 29 Januari 2010

Bayaran Yuran Keahlian PPTI Secara Bank In

Persatuan Penduduk Taman Ixora menggalakkan ahli untuk membayar yuran keahlian secara Bank In ke dalam Akaun Bank Islam persatuan. Berikut adalah cara pembayaran tersebut:-

1. Semak jumlah yuran yang perlu dibayar melalui Penyata Yuran Keahlian PPTI.
2. Lakukan pembayaran.
- No Akaun : 05058010012095
- Nama Akaun : Persatuan Penduduk Taman Ixora BBST Sepang Selangor (2008)
3. Sila nyatakan Nama Penuh, No. Rumah, No. Jalan, Tarikh, Masa, No. Rujukan dan Jumlah Bayaran yang dibuat.
4. Emelkan maklumat berkenaan kepada tamanixora@gmail.com

Resit rasmi akan dikeluarkan kepada ahli setelah persatuan menerima penyata bulanan yang dihantar oleh pihak bank.

Peringatan : Yuran Keahlian Tahun 2010 hendaklah dijelaskan sebelum atau pada 21 Februari 2010.

Selasa, 26 Januari 2010

Operasi Cegah Maksiat Oleh JAIS di Taman Ixora

Pada 26 Januari 2010 (Selasa) jam 2.15 pagi, 5 orang anggota daripada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) telah melakukan operasi pencegahan maksiat di rumah No. 17, Jalan Ixora 1/3. Pihak JAIS telah berjaya menangkap 2 orang perempuan dan seorang lelaki yang bukan muhrim di rumah berkenaan. Penghuni rumah berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen yang mengesahkan mereka adalah suami isteri yang sah.

Mereka yang ditangkap berkhalwat berkenaan telah di bawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Sepang dengan menaiki van JAIS untuk siasatan lanjut. Serbuan berkenaan turut disertai oleh beberapa orang penduduk di Jalan Ixora 1/13 dan 1/1 yang melakukan rutin berjaga malam di pondok kejiranan One Ixora.

Serbuan berkenaan dibuat berdasarkan kepada intipan dan maklumat daripada jiran di Jalan Ixora 1/3. Penghuni rumah berkenaan juga telah diberi nasihat beberapa kali oleh jiran bersebelahan dan daripada pegawai JAIS sendiri sebelum ini. Walaubagaimanapun nasihat dan amaran berkenaan tidak dipedulikan oleh mereka.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah dan syabas kepada penduduk yang perihatin dengan gejala maksiat yang berlaku di taman kita ini. Bersama-samalah kita membanteras kejadian seperti ini daripada berlaku pada masa akan datang.

Selasa, 19 Januari 2010

Perlawanan Persahabatan Futsal Taman Ixora vs USIM

Biro Sukan dan Kebudayaan PPTI telah mengadakan perlawanan persahabatan futsal di antara pasukan Taman Ixora dan pasukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada butiran berikut:-

Tarikh : 20 Januari 2010 (Rabu)
Masa : 9.00 Malam
Tempat : Padang Futsal USIM, Nilai

Seramai 15 orang pemain/ penduduk telah mewakili Taman Ixora. Perlawanan berkenaan telah dimenangi oleh pasukan Taman Ixora dengan jaringan 7 - 5.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah kepada USIM yang telah menyediakan kemudahan tempat perlawanan dan pemain yang berkebolehan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Pos Kejiranan One Ixora Jalan Ixora 1/11

Pada 17-19 Januari 2010, penduduk di Jalan Ixora 1/11 telah bergotong-royong membina pos kejiranan One Ixora di jalan berkenaan. Pos ini dibina atas inisiatif penduduk melalui sumbangan kewangan dan tenaga daripada penduduk di lorong berkenaan.

Pos ini dibina untuk kemudahan penduduk mengadakan kawalan keselamatan pada sebelah malam. Pihak persatuan mengucapkan tahniah kepada penduduk di lorong berkenaan yang telah mengadakan kawalan keselamatan secara sukarela.

Isnin, 18 Januari 2010

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PPTI Bil. 1/2010

Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan mesyuarat pada 17 Januari 2010, jam 9.30 malam dan membuat beberapa keputusan berikut:-

1. Membuat kutipan yuran keahlian bagi tahun 2010 sebanyak RM30.00 sebelum atau pada 21 Februari 2010.
2. Status permohonan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora sehingga 13 Jan 2010 masih dalam proses oleh Jabatan Perpaduan Negara. Giliran ketiga daripada 6 permohonan.
3. Surat permohonan pembinaan Balai Islam telah dihantar kepada pemaju pada 4 Januari dan mendapat maklumbalas yang positif.
4. Surat kebenaran membina pondok kawalan Jalan Ixora 1/13 telah dihantar kepada Majlis Perbandaran Sepang pada 4 Januari 2010.
5. Surat permohonan kemudahan plug di Taman Permainan Kanak-kanak telah dihantar kepada Majlis Perbandaran Sepang pada 4 Januari 2010.
6. Jawatankuasa bersetuju cadangan untuk memberikan pen atau buku nota kepada ahli yang membayar yuran keahlian bagi tahun 2010.
7. Jawatankuasa bersetuju untuk mengedarkan Buletin Ixora tahun 2009 kepada semua ahli PPTI.
8. Jawatankuasa bersetuju untuk mengadakan mesyuarat agung pada 21 Februari 2010, jam 9.30 pagi bertempat di Dewan Masjid BBST. Notis panggilan mesyuarat dan borang cadangan usul akan dikeluarkan oleh Setiausaha dalam waktu terdekat.

9. Pengerusi membentangkan cadangan aktiviti bagi tahun 2010:-
- Mesyuarat Agung PPTI - Februari
- Sambutan Maulidur Rasul - Mac
- Pertandingan Badminton Tertutup/ Terbuka - April
- Gotong-Royong - Mei
- Kem Motivasi Pelajar - Julai
- Ihya' Ramadhan/ Bubur Lambuk - Ogos
- Sambutan Hari Raya Aidilfitri - September
- Pertandingan Boling Tertutup - Oktober
- Ibadah Qurban - November
- Pertandingan Futsal Tertutup/ Terbuka - Disember

10. Jawatankuasa bersetuju untuk membeli sebuah Walkie Talkie untuk kegunaan persatuan.
11. Jawatankuasa bersetuju cadangan untuk menubuhkan persatuan belia di Taman Ixora.
12. Jawatankuasa bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Bertindak untuk pembinaan Balai Islam dan Dewan Serbaguna di Taman Ixora.
13. Taman Ixora akan menyertai Pertandingan Taman Tercantik Tahun 2010. Program gotong-royong khas akan diadakan untuk tujuan tersebut.
14. Jawatankuasa bersetuju untuk menyumbangkan air mineral semasa pertandingan futsal persahabatan di antara Taman Ixora dan USIM pada 20 Januari, jam 9.00 malam.
15. Persatuan akan menghantar surat untuk mengetahui status permohonan pengurangan cukai pintu yang dikemukakan kepada Exco Ronnie Liu pada 26 Jun 2009.
16. Program bacaan yasin dan tazkirah kaum ibu akan diteruskan pada tahun 2010.
17. Jawatankuasa bersetuju untuk memberikan satu pelekat kenderaan percuma kepada ahli baru PPTI bagi tahun 2010.

Mesyuarat berakhir jam 11.30 malam.

Ahad, 10 Januari 2010

Gotong-royong Memasak Bubur Lambuk di Kejiranan Jalan Ixora 1/2

Pada 9 Januari 2010 (Sabtu), penduduk di Jalan Ixora 1/2 telah bergotong-royong memasak bubur lambuk sempena menyambut awal Muharram 1431H.

Diantara bahan-bahan yang telah digunakan untuk memasak satu periuk bubur berkenaan adalah:-
- 4 kg daging dan 2 kg tulang
- 7 kg beras
- 3 kg lobak
- 5 kg kentang
- 2 ketul halia
- 8 kg santan pekat
- 1 kg bawang merah
- 5 labu bawang putih
- 2 paket udang kering
- 375 gram rempah sup
- 2 paket kecil rempah kurma
- 6 paket kecil rempah tumis
- 250 gram marjerin
- 1 paket lada hitam dikisar halus
- 1 paket garam
- bawang goreng, daun sup dan daun kari
- 8 kiub ayam
- 1 paket maggi cukup rasa
- 4/5 periuk air

Bubur yang telah siap dimasak diagihkan kepada penduduk di Jalan Ixora 1/2 dan jiran berhampiran.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan syabas dan tahniah kepada penduduk di Jalan Ixora 1/2 yang telah bekerjasama menjalankan aktiviti untuk merapatkan hubungan silaturrahim di antara mereka.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.