Selasa, 27 Januari 2009

Kutipan Yuran Keahlian

Mesyuarat Jawatankuasa PPTI BBST Bil. 1/2009 telah membuat keputusan untuk mengutip yuran keahlian bagi semua ahli yang telah membuat pendaftaran pada tahun 2008. Seseorang pemohon untuk menjadi ahli dikira sah menjadi ahli apabila membayar yuran pendaftaran RM10.00 dan yuran keahlian RM5.00 setahun sebagaimana termaktub di dalam Undang-undang Tubuh Persatuan. Kepada ahli yang belum menjelaskan yuran keahlian RM5.00 setahun hendaklah berbuat demikian sebelum mesyuarat agung persatuan pada bulan Mac ini. Yuran keahlian boleh dibayar kepada mana-mana ahli jawatankuasa persatuan untuk disalurkan kepada Bendahari. Tindakan ini hendaklah diambil oleh semua ahli persatuan setelah mendapat teguran daripada pejabat Pendaftar Pertubuhan Negeri Selangor yang telah menjalankan audit kepada aduan yang dikemukakan.

Khamis, 22 Januari 2009

Tips menghalang kecurian seperti yang diberi oleh Polis DiRaja Malaysia

1. Jangan biarkan anak-anak tidur di ruang tamu seorang diri (Mereka mungkin menggunakan anak sebagai tebusan).
2. Kunci atau sorokkan semua pisau-pisau yang terdapat di dapur sebelum tidur (Kesemua kes kecurian di dapati pisau hilang dan menurut polis mereka akan mencari pisau dahulu sebelum mencuri bertujuan untuk melindungi diri mereka).
3. Sekiranya terdengar/terlihat paip air di luar rumah terbuka pada tengah malam (pukul 12 ke atas), jangan keluar rumah untuk menutup paip tersebut kerana ini adalah taktik terbaru mereka di mana mereka telah menunggu diluar pintu rumah untuk masuk (Kes terbaru berlaku di Dungun dan PJ).
4. Beritahu anak-anak sekiranya hendak ke tandas (jika tandas jauh) diwaktu tengah malam, kejutkan ibubapa untuk bersama mereka.
5. Jangan simpan barang-barang kemas di dalam almari baju (Cara lama...).
6. Bawa alarm kereta bersama semasa tidur, in case terjaga tengah malam,cuba on and offkan balik untuk menakutkan pencuri (Menandakan kita sentiasa alert).
7. Tekan button merah alarm kereta anda jika anda suspect pencuri sudah masuk ke dalam rumah.
8. Sekiranya terlihat orang-orang yang agak aneh dan asing di kawasan rumah anda, sila dapatkan plet no motor/kereta mereka (Selalunya naik motor dan mereka ni biasanya berdua, setiap kali kita lalu depan mereka,mereka akan menundukkan kepala).
9. Pesan kepada jiran, sekiranya ada sesiapa yang datang ke rumah kita dan mengaku saudara kita bertujuan untuk mengambil barang-barang, jangan benarkan, beri nombor telefor pejabat anda kepada jiran supaya mereka boleh double check dengan kita.
10. Semasa tidur, pastikan handphone anda berada di sisi atau pastikan juga Cordless Phone anda berada di sisi anda ataupun sambungkan satu extension dalam kamar tidur anda. Ini memudahkan anda membuat panggilan kecemasan sekiranya anda terasa kehadiran pencuri di dalam rumah anda.
11. Adakan senarai nombor telefon kecemasan seperti polis, bomba , 991 atau sebagainya. Pastikan nombor-nombor ini disimpan dalam handphone anda. Kalau boleh, hafalkan nombor tersebut. Ini memudahkan anda membuat panggilan telefon.
12. Kalau berkemampuan, pasangkan alat pengesan kecurian di rumah atau automatik alarm.
13. Lampu porch & lampu belakang rumah sepatutnya terpasang secara automatik bila malam, baik semasa kita ada di rumah atau pergi vacation.
14. Kalau cuti lama, pesan jiran kutip surat2 dlm mail box. Mail box yg penuh membantu pencuri menghidu ketiadaan tuan rumah.
15. Kalau kawasan anda kerap berlaku kecurian, buat permohonan rasmi dari Balai Polis berdekatan supaya ada anggota polis buat rondaan yang kerap di kawasan anda.
16. Kereta Proton adalah paling mudah dicuri. Kalau kereta anda brand new, sekurang-kurangnya anda perlu lock gear & stering sebelum tidur (Sebenarnya masih boleh dicuri, tetapi akan berjaya melambatkan pencuri).
17. Kalau ada anak-anak perempuan, sebaik-baiknya pintu biliknya dikunci dari dalam (Sebab ada pencuri yg mengambil kesempatan seksual) dan anda perlu ada kunci pendua in case berlaku kebakaran.
8. Sekurang-kurangnya simpan kayu hoki atau baseball di bawah katil anda buat mempertahankan diri dari pencuri yang ganas.
19. Jangan letak kunci bawah pasu bunga/mail box/alang pintu/tepi tingkap bila keluar (Pencuri dah lama tau taktik ni...). Lebih selamat beri pada jiran yang kita kenal rapat.
20. Kalau sewa rumah baru pastikan anda tukar padlock baru, mana tau bekas-bekas penyewa lama simpan kunci pendua.
21. Kurangkan pendedahan dan pergaulan anda dengan pakerja asing

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bil. 1/2009

Jawatankuasa telah membuat keputusan untuk memberikan sumbangan kepada ahli bagi kes-kes berikut:-

1. Wang tunai RM50.00 bagi kematian ahli atau ahli keluarga;
2. Hamper bernilai RM30.00 bagi kelahiran cahaya mata;
3. Hamper bernilai RM30.00 bagi kemasukan ke hospital;
4. Wang tunai RM50.00 bagi kes pecah rumah, kecurian dan ditimpa musibah.

Jawatankuasa juga mengambil keputusan untuk mengadakan kutipan derma kilat bagi mengumpul sumbangan sekiranya berlaku kematian di Taman Ixora. Tempoh seminggu diberikan untuk mengutip sumbangan berkenaan.

Rabu, 21 Januari 2009

Takziah Untuk Keluarga En. MEGAT EZARAMIR BIN MEGAT MOHD ZAINODDIN

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera...

Dukacita dimaklumkan bahawa Encik MEGAT EZARAMIR BIN MEGAT MOHD ZAINODDIN (No. 2, Jalan Ixora 1/9) telah meninggal dunia lebih kurang jam 12.00 mlm 18 Januari 2009(Ahad) kerana serangan jantung. Beliau telah dirujuk ke Hospital Putrajaya pada jam 7.00 malam.

Pengurusan jenazah telah selamat dilakukan pada malam itu juga dengan bantuan dan kerjasama penduduk Taman Ixora.

Sehubungan dengan itu persatuan akan mengadakan kutipan derma kilat untuk membantu meringankan beban keluarga Allahyarham. Sumbangan boleh diberikan kepada AJK Persatuan untuk disalurkan kepada keluarga beliau.

Takziah buat keluarga Encik MEGAT EZARAMIR BIN MEGAT MOHD ZAINODDIN ...

Al-Fatihah.

Penjual Aiskrim Masuk Rumah

Pada 21 Januari 2009 jam 11.00 pagi, seorang penjual aiskrim bermotosikal berbangsa Pakistan telah memasuki sebuah rumah di Jalan Ixora 1/1, Taman Ixora, Bandar Baru Salak Tinggi dengan alasan untuk menjual prepaid. Setelah memasuki rumah berkenaan beliau mengunci pintu rumah daripada dalam. Di dalam rumah berkenaan hanya terdapat seorang pembantu rumah warga Indonesia dan anak perempuan tuan rumah. Tuan rumah dan isteri tiada di rumah kerana bekerja. Penduduk yang menyedari kejadian berkenaan telah menghubungi pihak polis dan dengan bantuan penduduk Taman Ixora penjual aiskrim berkenaan berjaya ditangkap dan di bawa ke Balai Polis Salak Tinggi untuk tindakan selanjutnya. Adalah dinasihatkan supaya penduduk Taman Ixora berhati-hati dengan penjual aiskrim bermotosikal kerana mereka mempunyai niat lain selain menjual aiskrim.

Pertandingan Mencipta Logo PPTI BBST

Persatuan Penduduk Taman Ixora akan mengadakan pertandingan mencipta logo persatuan. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 8 Februari 2009. Penyertaan adalah terbuka kepada semua ahli persatuan dan peserta boleh menghantar seberapa banyak penyertaan. Hadiah tempat pertama adalah wang tunai RM100.00 beserta hamper dan dua hadiah saguhati setiap satu adalah wang tunai RM30.00 beserta hamper. Pemenang akan diumumkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan pada bulan Mac 2009 dan penyampaian hadiah akan dilakukan pada hari itu juga. Logo yang memenangi pertandingan ini akan menjadi hak milik persatuan. Persatuan berhak untuk mengubahsuai logo yang terpilih. Penyertaan dan kerjasama ahli persatuan amatlah dihargai.