Rabu, 30 Jun 2010

Sesi Perjumpaan Bersama PPTI dan Getrahome Mengenai Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan sesi pertemuan dengan Getrahome mengenai status pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora pada butiran berikut:

Tarikh : 30 Jun 2010 (Rabu)
Masa : 10.00 Pagi
Tempat : Site Office Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah diwakili oleh Pengerusi, Setiausaha, seorang AJK dan seorang penduduk Taman Ixora. Pihak Getrahome telah diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, Pengarah Pembangunan dan Hartanah dan 4 orang wakil daripada kontraktor.

Berikut adalah keputusan yang dibuat semasa perjumpaan berkenaan:
1. Anggaran kos pembinaan surau adalah RM100,000
2. Pihak Getrahome bersetuju untuk menyumbang RM50,000 bagi pembiayaan kos projek
3. Persatuan Penduduk Taman Ixora diminta mengumpulkan dana daripada individu, syarikat korporat dan agensi kerajaan bagi membiayai baki kos projek
4. Tempoh pelaksanaan projek adalah empat (4) bulan dan tarikh jangka siap projek adalah 1 Januari 2011
5. Pelan surau adalah berkonsep terbuka (contohnya di R&R Lebuh Raya Utara Selatan)

Pihak PPTI mengucapkan terima kasih kepada pihak Getrahome yang telah meluangkan masa untuk sesi perjumpaan berkenaan dan memberikan sumbangan untuk membiayai separuh kos projek pembinaan surau di Taman Ixora. Semoga kerjasama yang diberikan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Rabu, 23 Jun 2010

Borang Survey Cadangan Projek Infra di Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora sedang menjalankan survey bagi mendapatkan maklumbalas daripada penduduk Taman Ixora mengenai cadangan projek infra yang akan dibina di Taman Ixora sebagai hadiah pemenang Pertandingan Taman Perumahan Terbaik Tahun 2009 anjuran Majlis Perbandaran Sepang. Borang survey berkenaan hendaklah dilengkapkan dan dikembalikan kepada Setiausaha (No. 119, Jalan Ixora 1/2) atau mana-mana Ahli Jawatankuasa PPTI sebelum atau pada 30 Jun 2010.

Sila klik di sini untuk mendapatkan borang survey berkenaan.

Bersama-sama borang survey berkenaan juga disertakan borang pembaharuan Takaful Khairat Kematian Takaful Ikhlas Taman Ixora. Dimaklumkan tarikh tamat sijil adalah pada 1 Julai 2010. Borang berkenaan juga hendaklah dilengkapkan dan dikembalikan kepada Setiausaha atau mana-mana Ahli Jawatankuasa PPTI sebelum atau pada 30 Jun 2010. Bayaran adalah RM15.00 setahun bagi sebuah keluarga.

Sila klik di sini untuk mendapatkan borang pembaharuan Takaful Khairat Kematian Takaful Ikhlas Taman Ixora.

Selasa, 8 Jun 2010

Takziah Kepada Keluarga En. Abdul Halim Bin Mohd Sharif, Ahli PPTI

Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan takziah kepada keluarga En. Abdul Halim Bin Mohd Sharif, No. 31, Jalan Ixora 1/10. En. Abdul Halim telah meninggal dunia di Hospital Serdang pada 7 Jun 2010 jam 3.30 petang kerana serangan angin ahmar. Jenazah beliau telah selamat dikebumikan di kampung kelahiran beliau di Semenyih, Selangor pada 8 Jun 2010.

Kepada ahli persatuan yang ingin memberikan sumbangan kewangan bolehlah berbuat demikian kepada Ahli Jawatankuasa PPTI atau disalurkan terus kepada keluarga beliau.

Semoga Allah S.W.T.menempatkan beliau dikalangan orang-orang yang soleh.

Al-Fatihah.

Selasa, 1 Jun 2010

Kelulusan Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora

Jabatan Agama Islam Selangor telah meluluskan permohonan daripada Persatuan Penduduk Taman Ixora untuk membina sebuah surau di Taman Ixora melalui surat Ruj : Bil (10) dlm. JAI. SEL. BPM/01/030/5 bertarikh 3 Mei 2010.

Permohonan yang diluluskan oleh JAIS adalah:-
- Nama Surau - Surau Balai Islam Taman Ixora, Bandar Baru Salak Tinggi, 43900 Sepang, Selangor
- Lokasi Tapak - Lot PT 1803, Jalan 66 Mukim Dengkil, 43900 Sepang, Selangor.

Kelulusan pembinaan ini tertakluk kepada syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh JAIS dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pihak persatuan diminta berurusan dengan Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menentukan arah Kiblat sebelum kerja-kerja pembinaan surau diluluskan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan syukur Alhamdulillah, syabas dan tahniah kepada semua individu dan pihak yang terlibat sehingga kelulusan pembinaan sebuah surau di Taman Ixora diperolehi. Semoga Allah Subhanahu Wata'Ala memberikan rahmat kepada semua.