Ahad, 30 Mei 2010

Pembukaan Akaun Maybank Untuk Urusan Kewangan Persatuan

Pada 26 Mei 2010, Persatuan Penduduk Taman Ixora telah membuka satu lagi akaun untuk urusan kewangan persatuan. Akaun yang dibuka adalah:-

Nama Bank : Malayan Banking Berhad
Cawangan : Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan
No. Akaun : 555108002197
Nama Akaun : PERSATUAN PENDUDUK TAMAN IXORA BBST (2008)

Akaun ini juga akan digunakan untuk menerima pembayaran yuran keahlian secara Maybank 2U daripada ahli.

Berikut adalah cara pembayaran secara Bank In ke dalam akaun persatuan:-
1. Menyemak jumlah yuran yang perlu dibayar melalui Penyata Yuran Keahlian yang disediakan di laman blog ini.
2. Lakukan pembayaran menggunakan nombor akaun di atas
3. Emelkan maklumat pembayaran dengan menyatakan
- Nama Penuh
- Nombor Rumah dan No. Jalan
- Tarikh, Masa, No. Rujukan dan Jumlah Bayaran Yang Dibuat
4. Emelkan kepada tamanixora@gmail.com

Resit rasmi akan dikeluarkan kepada ahli setelah persatuan menerima penyata bulanan yang dihantar oleh pihak bank.

Khamis, 20 Mei 2010

Takziah Kepada Keluarga En. Abdul Jaafar Bin Abdul Ghany, Ahli PPTI

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan takziah kepada keluarga En. Abdul Jaafar Bin Abdul Ghany, No. 20 Jalan 1/2 kerana cucu beliau yang baru berusia 2 minggu telah meninggal dunia di Hospital Seremban pada 19 Mei 2010. Jenazah telah selamat di sembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Sultan Hisamudin, BB Salak Tinggi.

Terima kasih juga diucapkan semua ahli persatuan dan jiran tetangga yang membantu urusan pengebumian jenazah berkenaan. Majlis bacaan yasin dan tahlil telah diadakan pada malam berkenaan di rumah beliau. Semoga keluarga beliau bersabar dan tabah menghadapi dugaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Khamis, 13 Mei 2010

Majlis Kesyukuran Taman Ixora Sebagai Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Tahun 2009

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menganjurkan Majlis Kesyukuran sempena pengiktirafan Taman Ixora sebagai Johan Pertandingan Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Tahun 2009 pada butiran berikut:-

Tarikh : 13 Mei 2010 (Khamis)
Masa : 7.30 Malam
Tempat : Masjid Sultan Hisamudin, BB Salak Tinggi

Aturcara majlis adalah seperti berikut:-
1. Solat Maghrib berjemaah
2. Bacaan Yasin dan Doa Kesyukuran
3. Solat Isyak berjemaah
4. Jamuan

Objektif majlis ini diadakan adalah :-
- Mengucapkan syukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmatnya Taman Ixora telah terpilih sebagai Johan Pertandingan Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Tahun 2009.
- Mengajak penduduk Taman Ixora mengimarahkan Masjid Sultan Hisamudin dengan majlis ilmu

Diantara tetamu jemputan yang hadir ke majlis berkenaan adalah:-
1. Timbalan Yang Dipertua MPSp (En. Adailami Bin Mohamad Amin)
2. Ahli Majlis Zon BBST Selatan (En. Titus Gladwyn A/L S.G Gomez)
3. Ahli Majlis Zon BBST Utara (Puan Rohaya Bt Dato' Mohd Shahir)
4. Nazir Masjid Sultan Hisamudin (Ustaz Yusmi Haniff Bin Ariffin)

Alhamdulillah, majlis yang dianjurkan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Taman Ixora. Semoga dengan penganjuran majlis ini penduduk dapat menambahkan lagi semangat kejiranan dan mengeratkan silaturrahim diantara satu sama lain.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Selasa, 4 Mei 2010

Mesyuarat Penyelarasan Pemenang Pertandingan Taman Perumahan Terbaik 2009

Majlis Perbandaran Sepang telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Pemenang Pertandingan Taman Perumahan Terbaik 2009 pada butiran berikut:-

Tarikh : 4 Mei 2010 (Selasa)
Masa : 3.00 Petang - 4.00 Petang
Tempat : Bilik Melur, Majlis Perbandaran Sepang
Pengerusi : Yang Dipertua MPSP, En. Azizan Bin Mohamad Sidin

Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh Ahli Majlis BBST Selatan, Tuan Titus Gladwyn A/L Sg Gomez, beberapa orang pegawai daripada MPSp dan wakil daripada Persatuan Penduduk Taman Ixora. Persatuan Penduduk Taman Ixora diwakili oleh Pengerusi (Hj. Mohd Noor), Timb. Pengerusi (En. Salihin), Setiausaha (En. Mohd Hasiady), Pen. Setiausaha (En. Zainal) dan 4 orang ahli persatuan.

Diantara agenda mesyuarat adalah:-
1. Ucapan Pengerusi
2. Sesi Perbincangan Cadangan Projek Infra oleh Persatuan Penduduk Taman Ixora
3. Hal-hal Lain
4. Penyerahan "Mock-Up Cheque" Hadiah Taman Perumahan Terbaik 2009
5. Penutup dan Jamuan

Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengemukakan cadangan untuk membina gelanggang futsal di Taman Permainan Kanak-Kanak Taman Ixora. Cadangan ini telah dipersetujui di dalam Mesyuarat Jawatankuasa PPTI Bil. 4/2010. Yang diPertua MPSp menerima cadangan daripada penduduk dan akan memberikan maklumbalas dalam waktu terdekat. Beliau turut memaklumkan kos sebenar untuk membina sebuah gelanggang futsal adalah RM50,000.00. Spesifikasi gelanggang adalah bergetah lembut dan berpagar.

Hal-hal lain turut dikemukakan oleh wakil persatuan. Di antara isu yang dikemukakan adalah:-

1. Pengerusi mengemukakan cadangan penurunan kadar cukai pintu di Taman Ixora. Yang Dipertua akan membawa memorandum cadangan penurunan kadar cukai pintu di dalam mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor untuk dibincangkan.

2. En. Zainal mengemukakan cadangan supaya MPSp membina bonggol dan speed breaker di simpang masuk ke Taman Ixora kerana banyak kejadian kemalangan telah berlaku di simpang berkenaan. Yang diPertua akan mengkaji keperluan cadangan berkenaan dalam waktu terdekat.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Sepang kerana memilih Taman Ixora sebagai pemenang Pertandingan Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Tahun 2009. Semoga pengiktirafan yang diberi ini akan menambahkan lagi semangat kejiranan di kalangan penduduk Taman Ixora dengan menjalankan aktiviti kemasyarakatan secara bersama demi kesejahteraan penduduk.

Mesyuarat berakhir pada jam 4.00 petang.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Isnin, 3 Mei 2010

Pertandingan Badminton Tertutup Taman Ixora Tahun 2010

Biro Sukan dan Kebudayaan, Persatuan Penduduk Taman Ixora telah berjaya menganjurkan Pertandingan Badminton Tertutup Taman Ixora Tahun 2010 pada butiran berikut:-

Tarikh : 2 Mei 2010 (Ahad)
Masa : 9.00 Pagi - 3.00 Petang
Tempat : Dewan Serbaguna Kuarters KLIA

Objektif pertandingan adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim dikalangan penduduk Taman Ixora melalui sukan badminton dan meningkatkan lagi semangat kesukanan dikalangan penduduk. Penyertaan adalah terbuka kepada semua penduduk Taman Ixora.

Pertandingan dijalankan secara beregu dan pemilihan pasangan ditentukan sendiri oleh pemain.
Seramai 34 orang pemain (17 regu) telah menyertai pertandingan yang dianjurkan. Kategori permainan adalah Terbuka dan Remaja.

Sila klik di sini untuk melihat senarai penuh pemain.


Hadiah berbentuk Piala Pusingan bagi Johan, Piala Iringan dan Hamper kepada Johan, Naib Johan, Tempat Ketiga dan Tempat Keempat disediakan kepada pemenang pertandingan.






Berikut adalah keputusan penuh pertandingan:-

1. KATEGORI TERBUKA

Johan
- Sameri Bin Abdullah dan Mohd Noor Bin Salleh

Naib Johan
- Abd Rashid Bin Abd Malek dan Azrul Bin Idris

Tempat Ketiga
- Hj. Mohd Noor Bin Hj. Said dan Matzis Bin Jusdi

Tempat Keempat
- Salleh Bin Sufian dan Muhamad Faisal Bin Omar

Penentuan Tempat Ketiga dan Tempat Keempat adalah melalui undian.

2. KATEGORI REMAJA

Johan
- Muhammad Asyraf Bin Mohd Noor dan Muhammad Ilyasa Bin Mohd Zaimi

Naib Johan
- Muhammad Hazwan Adli Bin Zainal Abidin dan Arif Al-Hafiz Bin Mohd Anuar

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan syabas dan Tahniah kepada semua pemenang pertandingan.

Hadiah cabutan bertuah turut disediakan kepada pemain.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan syabas dan tahniah kepada Urusetia pertandingan yang telah berjaya menganjurkan pertandingan dengan jayanya. Terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung menjayakan penganjuran pertandingan ini. InsyaAllah pertandingan ini akan dianjurkan lagi pada tahun hadapan dengan lebih banyak peryertaan daripada penduduk.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.