Jumaat, 27 Mac 2009

Kerja-Kerja Mencantas Pokok Di Taman Ixora

Majlis Perbandaran Sepang telah melantik kontraktor untuk mencantas pokok di keseluruhan Taman Ixora yang melepasi talian elektrik. Kerja-kerja telah dimulakan pada 23 - 26 Mac 2009. Kerja-kerja mencantas pokok ini adalah merupakan keputusan dan persetujuan di antara Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Majlis Perbandaran Sepang semasa Majlis Dialog bertempat di MPSp pada 12 Februari 2009.

Penduduk Taman Ixora mengucapkan ribuan terima kasih di atas keperihatinan MPSp menyelenggara lanskap di Taman Ixora. Semoga bantuan yang diberikan dapatlah diteruskan lagi pada masa akan datang.

Cadangan Pelekat Kenderaan Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora akan memperkenalkan pelekat kenderaan di Taman Ixora untuk tujuan keselamatan. Sehubungan dengan itu berikut dicadangkan beberapa rekabentuk pelekat kenderaan berkenaan.


A) B)
C) D)

Bayaran bagi pelekat kenderaan dicadangkan sebanyak RM5.00 bagi sebuah kereta. Harga yang ditetapkan ini termasuklah sumbangan kepada persatuan bagi menjana kewangan persatuan. Sebarang cadangan dan pandangan daripada ahli persatuan dan penduduk amatlah dialukan.

Isnin, 23 Mac 2009

Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1430 Hijrah Taman Ixora















Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menganjurkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1430 Hijrah pada tarikh dan tempat seperti berikut:

Tarikh : 21 Mac 2009 (Sabtu)
Masa : 8.30 Malam
Tempat : Taman Permainan Kanak-Kanak Jalan Ixora 1/9















Diantara aturcara program pada malam itu adalah:
1. Perasmian oleh Ahli Majlis Bandar Baru Salak Tinggi
2. Persembahan Marhaban dan Nasyid Cinta Rasul
3. Forum Perdana Cinta Rasulullah SAW
- Ahli Panel 1 : Dr. Mohd Rushdan Bin Mohd Jailani (Pensyarah USIM)
- Ahli Panel 2 : Ustaz Zainudin Bin Abu Bakar (Pendakwah Bebas)
- Moderator : Ustaz Yusmi Haniff Bin Ariffin

Majlis telah diadakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang. Seramai 300 orang penduduk Taman Ixora telah hadir mengimarahkan majlis ilmu berkenaan. Semoga dengan kehadiran penduduk ini telah dapat menambah rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW, mengeratkan semangat kejiranan dan hubungan siturrahim sesama muslim.

Sila klik di sini untuk koleksi gambar semasa majlis diadakan.

Khamis, 19 Mac 2009

Pembinaan Bonggol Di Taman Ixora


Pada 18 Mac 2009 (Rabu), Majlis Perbandaran Sepang telah melantik kontraktor untuk membina bonggol di laluan masuk Taman Ixora. Pada fasa permulaan sebanyak 7 bonggol telah dibina. Pembinaan bonggol tambahan akan dilakukan pada fasa yang seterusnya.

Tujuan utama pembinaan bonggol adalah bagi tujuan keselamatan penduduk yang terdiri daripada kanak-kanak yang bermain di tepi jalan. Dengan adanya bonggol, kenderaan akan memperlahankan kenderaan seterusnya dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sila klik di sini untuk gambar lokasi pembinaan bonggol berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Sepang yang telah meluluskan peruntukan untuk membina bonggol berkenaan. Semoga kemudahan yang disediakan untuk kemudahan dan keselamatan penduduk dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. InsyaAllah.

Isnin, 16 Mac 2009

Ucapan Takziah Kepada En. A. Rahman Bin Che Din

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera...

Dukacita dimaklumkan bahawa cucu kepada Encik A. Rahman Bin Che Din (No. 16, Jalan Ixora 1/5) telah kembali ke rahmatullah pada tengahari 16 Mac 2009(Isnin). Sehubungan dengan itu persatuan mengucapkan takziah kepada beliau dan mendoakan supaya roh cucu beliau ditempatkan di kalangan anak yang solehah.Takziah buat Encik A. Rahman Bin Che Din sekeluarga ...

Al-Fatihah.

Gotong-Royong Kenduri Kahwin Anak Perempuan Tuan Hj. Mohd Noor Bin Said (Pengerusi PPTI)

Pada 14 dan 15 Mac 2009, penduduk Taman Ixora telah mengadakan gotong-royong membantu persiapan sebelum dan semasa majlis kenduri kahwin Tuan Hj. Mohd Noor Bin Said (Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Ixora).

Semua penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah kepada Tuan Haji Mohd Noor yang telah selamat mengadakan majlis kenduri anaknya. Tuan Haji Mohd Noor juga mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama yang telah ditunjukkan oleh penduduk bagi memastikan majlis beliau berjalan lancar.

Semoga semangat kerjasama yang telah ditunjukkan oleh penduduk dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. InsyaAllah.

Sila klik di sini untuk koleksi gambar majlis berkenaan.

Khamis, 12 Mac 2009

Pertandingan Taman Tercantik Majlis Perbandaran Sepang

Jawatankuasa Perunding Penduduk (JPP) Zon Bandar Baru Salak Tinggi Selatan telah mencalonkan Taman Ixora dan Taman Mawar 1 sebagai wakil pertandingan Taman tercantik di kawasan Majlis Perbandaran Sepang. Hadiah sebanyak RM30,000.00 dalam bentuk projek disediakan kepada pemenang pertandingan.

Diantara kriteria yang dinilai untuk pertandingan berkenaan ialah:
1. Kebersihan Sampah
2. Infrastruktur Longkang Dan Jalan
3. Penyelenggaraan Lampu Jalan Dan Lanskap
4. Taman Permainan
5. Hubungan Sesama Jiran
6. Persatuan Penduduk
7. Aktiviti Penduduk
8. Penyelenggaraan Kawasan Rumah

Lawatan panel pengadil akan diadakan dari semasa ke semasa. Diharap semua penduduk Taman Ixora dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pengadil pertandingan dengan menyelenggara kawasan rumah, hubungan baik dan kenali jiran anda. Semoga kemenangan bakal menjadi milik kita semua.