Ahad, 13 Januari 2013

Senam Robik Kejiranan Taman Ixora

Bagi menyahut seruan ke arah gaya hidup sihat, Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama KRT Taman Ixora telah menganjurkan program senam robik pada butiran berikut:

Tarikh : 13 Januari 2013 (Ahad)
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Ruang legar Surau Balai Islam Taman Ixora

Program senam robik ini yang sepatutnya diadakan di tapak parkir surau dan dijadualkan pada jam 7.30 pagi terpaksa dilewatkan kerana hujan di sebelah pagi. Program ini diteruskan juga walaupun kurang mendapat mendapat sambutan daripada penduduk kerana hujan.

InsyaAllah program ini akan dianjurkan lagi pada masa hadapan bagi menggalakkan penduduk Taman Ixora mengamalkan budaya hidup sihat dan bersenam untuk kesihatan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Kemalangan Maut di Simpang Masuk Taman Ixora

Pada 11 Januari 2013 (Jumaat), anggaran jam 8.45 pagi berlaku satu kemalangan maut di simpang masuk ke Taman Ixora dan Stadium Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. Kejadian berkenaan melibatkan sebuah kereta (Toyota Camry) dan sebuah motosikal berkuasa tinggi. Motosikal berkenaan adalah dari arah Masjid Sultan Hisamudin menuju ke Taman Seroja kerana menghantar anak ke sebuah  tadika di Taman Seroja. Penunggang motosikal berkenaan telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak beliau cedera parah. Kereta (Toyota Camry) berkenaan dari arah Taman Seroja didapati melakukan kesalahan kerana telah membuat pusingan U di simpang masuk Taman Ixora. Simpang berkenaan tidak boleh dilakukan pusingan U kerana merbahaya kepada pengguna jalan raya dan papan tanda tidak boleh membuat pusingan U diletakkan di simpang berkenaan.

Jalan ke simpang masuk Taman Ixora berkenaan amat berbahaya kepada penduduk yang keluar masuk kerana telah berlaku beberapa kemalangan di simpang berkenaan sebelum ini. Beberapa aduan telah dikemukakan oleh Persatuan Penduduk Taman Ixora kepada Majlis Perbandaran Sepang sebelum ini supaya diambil tindakan diantaranya supaya memasang lampu isyarat, membina bonggol, speed breaker dan mencantas pokok di pembahagi jalan berkenaan. Walaubagaimapun Majlis Perbandaran Sepang memberikan alasan tiada peruntukan untuk memasang lampu isyarat dan hanya mengambil tindakan mencantas pokok di tiga tiang lampu jalan di simpang berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora akan membuat aduan secara rasmi dalam waktu terdekat kepada MPSp, JKR Sepang dan pihak berkaitan supaya mengambil tindakan yang sebaiknya bagi mengelakkan berlaku lagi kejadian kemalangan di kawasan berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora menasihati penduduk Taman Ixora supaya sentiasa berwaspada apabila menggunakan simpang berkenaan dan memastikan tiada kenderaan di kiri kanan simpang kemudian barulah melintas.  

Jumaat, 11 Januari 2013

Perjumpaan Ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) bersama Pengerusi KRT Taman Ixora

Satu perjumpaan bersama Pengerusi KRT dan ahli Skim Rondaan Sukarela, KRT Taman Ixora telah diadakan pada butiran berikut:

Tarikh : 9 Januari 2013 (Rabu)
Masa : 9.30 Malam
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora


Pada majlis berkenaan juga telah diadakan satu taklimat oleh En. Musa Bin Othman, Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Sepang mengenai undang-undang dan peraturan baru rondaan dan pentadbiran Skim Rondaan Sukarela.


Berikut adalah keputusan yang dipersetujui semasa perjumpaan berkenaan:
1. Pelantikan Jawatankuasa Skim Rondaan Sukarela
- Ketua SRS : En. Norhasrizam
- Penolong Ketua SRS : Ustaz Syahril
- Setiausaha : Hj. Khairudin
- Penolong Setiausaha : En. Anas
- Ketua Zon A : En. Rohaizan
- Ketua Zon B : En. Aizam
- Ketua Zon C : En. Hasrizam

2. Bersetuju untuk menjadikan Surau Balai Islam Taman Ixora sebagai pusat kawalan (induk) untuk menyimpan barang-barang rondaan, buku rekod kehadiran, makluman jadual rondaan, penyediaan kudapan (air dan makanan ringan) dan sebagainya. Ahli SRS akan berkumpul sebelum dan selepas rondaan sebelum pergi ke zon masing-masing.
3. Rondaan bagi tahun 2013 akan dimulakan pada bulan Februari 2013, kekuatan 15 orang setiap malam, dua kali seminggu, mula rondaan jam 1.00 pagi dan berakhir jam 5.00 pagi.
4. Peruntukan penyediaan kudapan akan diselaraskan oleh Jawatankuasa KRT Taman Ixora.
5. Hebahan dan promosi bagi mendapatkan ahli SRS baru akan diadakan dari semasa ke semasa.

Sila klik di sini untuk memuat turun Borang Permohonan Menjadi Ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS), KRT Taman Ixora.

Seramai 42 orang ahli SRS yang terdiri daripada 3 zon (Zon A, Zon B dan Zon C) di KRT Taman Ixora telah menghadiri perjumpaan berkenaan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Khamis, 3 Januari 2013

Kerja-kerja Pembaikan Lampu Jalan di Taman Ixora Oleh TNB Sepang

Pada 2 Januari 2013, jam 6.30 petang pekerja TNB Daerah Sepang telah melakukan pembaikan kepada lampu jalan yang tidak menyala di Jalan Ixora 1/9, 1/10, 1/11, 1/12 dan 1/13 Taman Ixora. Tindakan pembaikan SEGERA daripada pihak TNB ini amatlah dihargai dan terima kasih diucapkan.

Wakil TNB telah menelefon Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Ixora pada 3 Januari 2013 dengan merujuk kepada aduan yang dikemukakan oleh PPTI pada 2 Januari 2013. Maklumbalas yang diterima adalah seperti berikut:
1. Lampu jalan berkenaan telah dipotong mulai 21 Disember 2012 kerana terdapat bil tertunggak yang belum dijelaskan kepada TNB.
2. Semakan semula rekod mendapati tunggakan bil berkenaan sebenarnya adalah di bawah tanggungjawab pemaju (Getrahome Sdn. Bhd.) sebelum Fasa 3B Taman Ixora diserahkan kepada Majlis Perbandaran Sepang untuk diselenggara. Jumlah tunggakan adalah melebihi RM10,000.
3. Pihak Majlis Perbandaran Sepang hanya menjelaskan bil lampu jalan selepas tarikh Fasa 3B Taman Ixora diserahkan kepada pihak MPSp.
4. Pihak TNB mengakui kesilapan pemotongan lampu jalan berkenaan dan tindakan SEGERA penyambungan semula bekalan telah dibuat petang semalam.
5. Pihak TNB akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Sepang supaya Getrahome Sdn. Bhd. menjelaskan bil tertunggak berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada individu dan penduduk yang telah membuat follow up dan bekerjasama sehingga masalah ini diselesaikan. Sesungguhnya tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan dengan berkat kerjasama semua pihak melalui rundingan dan perbincangan. Janganlah sesetengah pihak memperbesar-besarkan isu yang tidak diketahui punca yang sebenar sehingga mengeruhkan keadaan penduduk Taman Ixora yang harmoni dah sejahtera ini.

Rabu, 2 Januari 2013

Aduan Lampu Jalan di Taman Ixora Tidak Menyala

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengemukakan aduan bertulis secara rasmi kepada Pejabat Khidmat Pelanggan, TNB Daerah Sepang dan disalinkan kepada Pejabat Khidmat Pelanggan, TNB Daerah Banting pada 2 Januari 2013. Aduan rasmi ini dibuat selepas beberapa siri aduan yang dibuat oleh individu dan penduduk di Taman Ixora tidak diambil tindakan dalam tempoh masa yang sewajarnya oleh pihak TNB. Mengikut aduan yang dikemukakan lampu jalan di Jalan Ixora 1/9, 1/10, 1/11, 1/12 dan 1/13 didapati tidak menyala mulai daripada 21 Disember 2012 lagi. Berdasarkan kepada aduan, tempoh dua(2) minggu adalah terlalu lama untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi oleh TNB.

Sehubungan dengan itu, di dalam surat berkenaan Persatuan Penduduk Taman Ixora memohon penjelasan  daripada pihak TNB mengenai masalah lampu jalan berkenaan dan membuat tindakan pembaikan dengan kadar SEGERA. Sekiranya melibatkan pihak lain Persatuan Penduduk Taman Ixora akan mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan saluran yang sepatutnya.

Sekiranya masalah ini masih belum diselesaikan dalam tempoh 48 jam oleh pihak TNB, Persatuan Penduduk Taman Ixora akan membawa aduan ini kepada pihak berkaitan sehinggalah diselesaikan. Justeru itu, buat sementara waktu Persatuan Penduduk Taman Ixora memohon penduduk di Jalan berkenaan supaya memasang lampu luar rumah buat sementara waktu sehingga masalah ini diselesaikan. Ini adalah  kerana keadaan jalan yang gelap mengundang pelakuan jenayah  oleh pihak luar.

Sila klik di sini untuk melihat surat aduan berkenaan.

Selasa, 25 Disember 2012

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penaja Surau Balai Islam Taman Ixora Bil. 4/2012

Jawatankuasa Penaja Surau Balai Islam Taman Ixora telah mengadakan mesyuarat pada 19 Disember 2012 (Rabu), jam 9.30 malam bertempat di Surau Balai Islam Taman Ixora. Berikut adalah beberapa keputusan mesyuarat:

1. Perancangan aktiviti tahun 2013 di surau  akan mengambilkira sambutan semua hari kebesaran islam.

2. Jawatankuasa bersetuju untuk mengadakan kutipan derma surau sebanyak RM5 setiap bulan daripada penduduk Taman Ixora. Surat edaran akan diedarkan dalam waktu terdekat.

3. Kelas pengajian al-Quran sebanyak 3 kali seminggu akan diadakan di surau iaitu hari Selasa, Khamis dan Ahad selepas solat maghrib. Borang penyertaan akan diedarkan kepada penduduk dalam waktu terdekat.

4. Kuliah bulanan akan mula diadakan pada bulan Januari 2013.

5. Jadual kuliah mingguan surau seperti berikut:
- Isnin dan Jumaat selepas solat Maghrib - Kelas Tajwid - Imam Hj. Sahid
- Setiap Rabu minggu Pertama dan Ketiga selepas Maghrib - Kuliah Tauhid - Ustaz Zulrushdi
- Setiap Rabu minggu Kedua dan Keempat selepas Maghrib - Kuliah Tafsir - Ustaz Tengku Sipulizan
- Ahad minggu Keempat selepas Maghrib - Sirah - Ustaz Nizamudin
- Setiap Ahad selepas Subuh - Kuliah Subuh

Mesyuarat berakhir jam 11.00 malam.

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PPTI Bil. 3/2012

Jawatankuasa PPTI telah mengadakan mesyuarat pada 18 Disember 2012 (Selasa), jam 9.30 malam bertempat di Surau Balai Islam Taman Ixora. Berikut adalah beberapa keputusan mesyuarat:

1. Perancangan aktiviti PPTI tahun 2013
- Sambutan Maulidur Rasul
- Pengisian Ramadhan (berbuka puasa, tadarus, khatam al-Quran dan memasak bubur lambuk)
- Majlis Ibadah Qurban
- Gotong-royong (2 kali setahun)
- Majlis dialog bersama pemaju dan MP Sepang
- Mesyuarat Agung PPTI
- Senam robik gaya hidup sihat
- Sukaneka
- Majlis berkhatan beramai-ramai
- Pertandingan boling keluarga
- Pertandingan badminton tertutup
- Kem solat dan kelas fardhu ain semasa cuti sekolah
- Solat hajat menjelang peperiksaan
- Majlis hari raya Aidilfitri
- Memasak bubur Asyura sempena Maal Hijrah

2. Jawatankuasa bersetuju untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul peringkat Taman Ixora pada 3 Februari 2013 (Ahad). Berikut adalah tentatif aturcara:
- Pertandingan mewarna kanak-kanak
- Pertandingan memasak makanan sihat oleh kaum ibu
- Pertandingan sepak raga bulatan
- Forum perdana

3. Kutipan yuran keahlian tahunan PPTI tahun 2013 akan mula dibuat mulai 1 Januari 2013 hingga 28 Februari 2013.

4. Mesyuarat Agung PPTI akan diadakan pada 3 Mac 2013.

Mesyuarat berakhir jam 11.00 malam