Ahad, 8 Ogos 2010

Program Kitar Semula di Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora dan KRT Taman Ixora telah mengadakan Program Kitar Semula di Taman Ixora pada butiran berikut :-

Tarikh : 8 Ogos 2010 (Ahad)
Masa : 9.00 Pagi hingga 1.00 Petang
Tempat Pengumpulan : Taman Permainan Kanak-Kanak Taman Ixora

Program yang diadakan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Taman Ixora. Penduduk telah menyumbangkan barangan yang boleh dikitar semula seperti surat khabar, kertas dan botol plastik. Barangan yang dikumpulkan telah dijual kepada Syarikat Alam Flora pada 9 Ogos 2010.

Berikut adalah senarai harga dan jumlah barangan yang berjaya dikumpul:-

1. Surat Khabar (22 sen sekilogram) - 276 kg
2. Majalah (20 sen sekilogram) - 34 kg
3. Kotak/ Kadbod (18 sen sekilogram) - 9 kg
4. Kertas campuran (16 sen sekilogram) - 23 kg
5. Aluminium (RM1.50 sekilogram) - 0.5 kg
6. Besi/Tin (20 sen sekilogram) - 19 kg
7. Plastik (20 sen sekilogram) - 49 kg

Jumlah barangan yang berjaya dijual adalah RM87.20. Wang kutipan ini telah didermakan ke dalam tabung Persatuan Penduduk Taman Ixora.

InsyaAllah Program Kitar Semula di Taman Ixora ini akan diadakan setiap 3 bulan sekali. Program ini adalah untuk mendidik penduduk Taman Ixora untuk mengamalkan kitar semula dalam kehidupan seharian. "Fikir Dahulu Sebelum Buang".

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Khamis, 5 Ogos 2010

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora Bil. 2/2010

Jawatankuasa KRT Taman Ixora telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa Bil. 2/2010 pada 4 Ogos 2010 (Rabu) jam 9.30 malam bertempat di Masjid Sultan Hisamudin BBST. Berikut adalah beberapa keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa:-

1. Jawatankuasa bersetuju untuk menubuhkan beberapa biro untuk menjalankan aktiviti KRT. Berikut adalah senarai penuh biro yang telah ditubuhkan:-

Biro Agama
- Ketua - En. Salihin Bin Jelani
- En. Zainal Abidin Bin Ahmad
- En. Razali Bin Dali

Biro Kebajikan dan Kesihatan
- Ketua - En. Amirudean Bin Zid
- En. Faizal Bin Omar
- En. Mohd Jamil Bin Mat Shah

Biro Sukan dan Kebudayaan
- Ketua - En. Mohd Zan Abdul RAhman
- En. Muhammad Fuad Bin Adam
- En. Norhisham Bin Wahid

Biro Ekonomi
- Ketua - En Salleh Bin Sufian
- En. Zulkefly Bin Sukor

Biro Pendidikan
- Ketua - En. Ahmad Zaha Bin Mohamad Halit
- En. Ahmad Kamil Bin Jelani
- En. Mohd Zaimi Bin Kasim

Biro Keselamatan
- Ketua - En. Zulkefli Bin Hashim
- En. Hazli Bin Mat Diah
- En. Aizam Nizam Bin Adnan
- En. Azraf Bin Azman
- En. Mohd Yusba Asmadi Bin Mat Rahim

Biro Hal Ehwal Wanita
- Ketua - Hjh. Noraini Bt Saadun
- Puan Rohaya Bt Abu Hasan

2. Semua ketua biro hendaklah membentangkan perancangan aktiviti tahun 2010 pada mesyuarat akan datang.
3. Jawatankuasa bersetuju untuk bekerjasama dengan Persatuan Penduduk Taman Ixora menjalankan program kitar semula di Taman Ixora sebagai aktiviti pertama KRT.
4. Jawatankuasa akan mengemukakan borang permohonan untuk menubuhkan Skim Rondaan Sukarela dalam waktu terdekat kepada Pejabat Perpaduan Daerah Sepang. Biro Keselamatan akan mengedarkan borang keahlian SRS kepada penduduk yang berminat.
5. Bersetuju untuk mengadakan Majlis Pelancaran KRT Taman Ixora selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
6. Bersetuju untuk menghantar surat permohonan membina dan menubuhkan Tabika Perpaduan serta Pejabat Rukun Tetangga di atas tanah tapak tadika yang telah disediakan oleh pemaju Getrahome dalam waktu terdekat kepada Pejabat Perpaduan Daerah Sepang.
7. Mengajak AJK dan penduduk menyertai kempen kibarkan Jalur Gemilang sempena bulan Kemerdekaan.

Mesyuarat berakhir jam 11.30 malam.

Selasa, 3 Ogos 2010

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia merupakan satu pembancian semua tempat kediaman dan penduduk di seluruh negara. Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 adalah banci kelima yang akan dijalankan sejak tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963.

Data yang dikumpul semasa Banci Penduduk dan Perumahan 2010 akan membekalkan satu set maklumat berstatistik yang komprehensif mengenai arah aliran dan corak ciri-ciri isi rumah dan penduduk. Data dan penemuan penting mengenai stok perumahan, jenis dan corak pemilikan juga diperoleh. Maklumat ini dapat membantu dalam perancangan, penggubalan dan pelaksanaan polisi oleh Kerajaan dan digunakan oleh para penyelidik dan individu lain.

Objektif Banci diadakan antaranya ialah untuk:
a) Mengumpul maklumat perangkaan yang menyeluruh berkaitan penduduk dan perumahan negara.
b) Menyediakan maklumat yang meluas tentang:
- Bilangan penduduk dan isi rumah serta ciri-ciri demografi, sosial dan ekonomi; dan
- Bilangan tempat kediaman mengikut jenis, ciri dan kemudahan asas yang sedia ada.
c) Menyediakan data asas penduduk dan perumahan di pelbagai peringkat geografi sehingga kekawasan yang kecil;
d) Mendapatkan maklumat terperinci berkaitan migrasi dalaman dan antarabangsa untuk melihat pola migrasi;
e) Asas kepada penyediaan geran daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri; dan
f) Input kepada anggaran dan unjuran penduduk semasa

Tempoh pembancian akan mengambil masa selama dua bulan iaitu bermula dari 6 Julai hingga 22 Ogos 2010.

Sila hubungi pusat panggilan banci untuk pertanyaan:

Hotline : 1-800-88-7828

Telefon : 03-8885 7826

Persatuan Penduduk Taman Ixora memohon kepada semua penduduk Taman Ixora agar memberikan kerjasama kepada pegawai banci yang menjalankan tugas. Tunjukkan sifat kita yang berbudi bahasa kepada mereka. Semoga semua pendudukTaman Ixora tidak tercicir daripada senarai banci penduduk tahun 2010.

Khamis, 29 Julai 2010

Kejadian Samun di Taman Ixora

Pada 29 Julai 2010 (Khamis) jam 11.00 pagi, berlaku satu kejadian samun bersenjata di rumah No. 24, Jalan Ixora 1/2. Dilaporkan sejumlah barang kemas telah berjaya dilarikan oleh penyangak berkenaan. Menurut laporan pihak polis, modus operandi mereka adalah menyamar sebagai juruteknik untuk memeriksa penapis air di dalam rumah.

Apabila tuan rumah membuka pintu untuk tujuan berkenaan, mereka akan menjadi mangsa atau anak sebagai tebusan dan mengugut untuk mencederakan mangsa sekiranya tidak memberikan kerjasama.

Persatuan Penduduk Taman Ixora meminta penduduk supaya sentiasa berwaspada dengan individu yang tidak dikenali yang ingin memasuki rumah kita. Pihak syarikat pembekal barangan atau perkhidmatan tidak pernah menghantar wakil mereka untuk melakukan pemeriksaan atau pembaikan dari rumah ke rumah.

Berdasarkan kepada kajian yang dilakukan di Taman Ixora, adalah didapati kejadian jenayah sentiasa berlaku dari jam 10.00 pagi hingga 11.30 pagi. Keadaan pada masa ini adalah sunyi dan lengang daripada pergerakan keluar masuk penduduk. Adalah dinasihatkan supaya penduduk tidak membiarkan kanak-kanak bermain di luar rumah pada waktu ini bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Ahad, 18 Julai 2010

Kejohanan Futsal Tertutup Kejiranan Taman Ixora Tahun 2010

Kejiranan Taman Ixora dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menganjurkan kejohanan futsal tertutup pada butiran berikut:-

Tarikh : 18 Julai 2010 (Ahad)
Masa : 9.00 Pagi hingga 12.30 Tengahari
Tempat : MERACIPTA Futsal (Bersebelahan Kilang WRP)

Kejohanan berkenaan adalah di atas inisiatif penduduk Jalan Ixora 1/13. Persatuan Penduduk Taman Ixora telah bekerjasama sebagai urusetia bersama sepanjang penganjuran kejohanan berkenaan. Penyertaan adalah terbuka kepada penduduk Taman Ixora.

Objektif penganjuran kejohanan adalah:
- mengeratkan tali persaudaraan dan silaturrahim dikalangan warga penduduk Taman Ixora.
- memupuk cara hidup sihat melalui aktiviti riadah dan sukan

Syarat-syarat pertandingan:
- Terbuka kepada LELAKI sahaja berumur 13 tahun ke atas dan terbuka kepada semua penduduk Taman Ixora.
- Setiap pasukan hendaklah terdiri daripada seorang pengurus pasukan dan enam (6) orang pemain.
- Yuran penyertaan adalah RM80.00 untuk satu pasukan.

Seramai 10 pasukan telah menyertai kejohanan berkenaan. Berikut adalah senarai pasukan yang bertanding:

Kumpulan A
- Vuvuzelas FC
- Tip Top
- Bran Utd
- FIFA Street
- Asfaragus 12

Kumpulan B
- A Team
- Flu FC
- 1313
- B-Boy
- Jaka 11

Berikut adalah keputusan penuh kejohanan:-

1. Johan - Asfaragus 12
2. Naib Johan - Jaka 11
3. Tempat Ke-3 dan Ke-4 - Bran Utd dan Flu FC

Pemain Remaja Harapan
- Mohd Azri Anuar (FIFA Street)

Penjaring Terbanyak
- Shamsul Akmar (Jaka 11) - 10 Gol

Pemain Terbaik
- Fazmen Raime (Asfaragus 12)

Hadiah kepada semua pemenang pertandingan telah disampaikan oleh Pengerusi PPTI.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah kepada pemenang kejohanan. Terima kasih juga diucapkan kepada pihak urusetia yang berjaya menganjurkan program dengan jayanya dan AJK PPTI yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menganjurkan kejohanan berkenaan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Sabtu, 17 Julai 2010

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PPTI Bil. 5/2010

Jawatankuasa PPTI telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa PPTI Bil 5/2010 pada 16 Julai 2010 (Jumaat) jam 9.30 malam dan membuat beberapa keputusan berikut:-

1. Bersetuju melantik En. Mohd Yusba Asmadi (No. 51, Jalan Ixora 1/13) sebagai AJK Dalaman bagi menggantikan Ustaz Zuki yang telah meletakkan jawatan.
2. Bersetuju untuk bekerjasama dengan penduduk Jalan Ixora 1/13 bagi menganjurkan Pertandingan Futsal Kejiranan Taman Ixora pada 18 Julai 2010.
3. Bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 2 Oktober 2010 (Sabtu) jam 8.30 malam.
4. Persatuan telah membuka satu lagi akaun (Maybank) untuk urusan kewangan persatuan pada 25 Mei 2010.
5. Bersetuju untuk mengadakan program Ihya' Ramadhan dengan memasak bubur lambuk pada hari Sabtu minggu pertama dan minggu ketiga puasa bertempat di Taska Permata Ixora. Bubur lambuk akan diedarkan kepada semua penduduk Taman Ixora.
6. Setiausaha memaklumkan seramai 62 orang penduduk telah melengkapkan borang penyertaan Takaful Khairat Kematian Taman Ixora.
7. Bersetuju untuk mengadakan Program Kitar Semula di Taman Ixora pada 8 Ogos 2010.
8. Perjumpaan dengan pihak Getrahome mengenai status Surau Balai Islam telah diadakan pada 30 Jun 2010. Pihak Getrahome besetuju untuk menampung 50% daripada kos projek. Anggaran RM100,000 untuk membina surau berkenaan.
9. Bersetuju dengan cadangan projek Dataran Serbaguna sebagai hadiah Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Tahun 2009. 62 % penduduk telah bersetuju dengan cadangan berkenaan selepas borang survey diedarkan kepada penduduk.

Mesyuarat berakhir jam 11.30 malam.

Rabu, 14 Julai 2010

Keputusan Survey Cadangan Projek Infra Taman Ixora

Sehingga 13 Julai 2010, seramai 69 orang responden/ penduduk telah mengembalikan borang survey yang telah diedarkan kepada semua penduduk Taman Ixora. Berikut adalah keputusan survey berkenaan:-

- 51% menyokong cadangan membina sebuah Dataran Serbaguna di Taman Permainan Kanak-Kanak Taman Ixora
-36 % menyokong cadangan membina sebuah Gelanggang Futsal di Taman Permainan Kanak-Kanak Taman Ixora
- 13 % mengemukakan cadangan lain

Berdasarkan kepada keputusan survey berkenaan, majoriti penduduk menyokong cadangan untuk membina sebuah Dataran Serbaguna di Taman Permainan Kanak-Kanak Taman Ixora. Sehubungan itu Persatuan Penduduk Taman Ixora akan mengemukakan cadangan berkenaan kepada pihak Majlis Perbandaran Sepang dalam masa yang terdekat untuk pertimbangan yang sewajarnya.