Selasa, 3 Ogos 2010

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia merupakan satu pembancian semua tempat kediaman dan penduduk di seluruh negara. Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 adalah banci kelima yang akan dijalankan sejak tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963.

Data yang dikumpul semasa Banci Penduduk dan Perumahan 2010 akan membekalkan satu set maklumat berstatistik yang komprehensif mengenai arah aliran dan corak ciri-ciri isi rumah dan penduduk. Data dan penemuan penting mengenai stok perumahan, jenis dan corak pemilikan juga diperoleh. Maklumat ini dapat membantu dalam perancangan, penggubalan dan pelaksanaan polisi oleh Kerajaan dan digunakan oleh para penyelidik dan individu lain.

Objektif Banci diadakan antaranya ialah untuk:
a) Mengumpul maklumat perangkaan yang menyeluruh berkaitan penduduk dan perumahan negara.
b) Menyediakan maklumat yang meluas tentang:
- Bilangan penduduk dan isi rumah serta ciri-ciri demografi, sosial dan ekonomi; dan
- Bilangan tempat kediaman mengikut jenis, ciri dan kemudahan asas yang sedia ada.
c) Menyediakan data asas penduduk dan perumahan di pelbagai peringkat geografi sehingga kekawasan yang kecil;
d) Mendapatkan maklumat terperinci berkaitan migrasi dalaman dan antarabangsa untuk melihat pola migrasi;
e) Asas kepada penyediaan geran daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri; dan
f) Input kepada anggaran dan unjuran penduduk semasa

Tempoh pembancian akan mengambil masa selama dua bulan iaitu bermula dari 6 Julai hingga 22 Ogos 2010.

Sila hubungi pusat panggilan banci untuk pertanyaan:

Hotline : 1-800-88-7828

Telefon : 03-8885 7826

Persatuan Penduduk Taman Ixora memohon kepada semua penduduk Taman Ixora agar memberikan kerjasama kepada pegawai banci yang menjalankan tugas. Tunjukkan sifat kita yang berbudi bahasa kepada mereka. Semoga semua pendudukTaman Ixora tidak tercicir daripada senarai banci penduduk tahun 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan