Ahad, 14 Ogos 2011

Program Gotong Royong Memasak Bubur Lambuk Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora telah mengadakan program gotong-royong memasak bubur lambuk Taman Ixora pada butiran berikut:-

Tarikh : 13 Ogos 2011 (Sabtu)
Masa : 8.00 Pagi hingga 5.00 Petang
Tempat : Tadika Cendekiawan Educare, Jalan Ixora 1/1, Taman Ixora

Kerja-kerja memasak bubur lambuk Taman Ixora bermula seawal pada jam 6.30 pagi dengan membeli barangan keperluan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan. Program yang dianjurkan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk. Penduduk telah bergotong-royong memotong daging, mengupas bawang dan ramuan lain, memasak, mengacau, membungkus dan mengedarkan bubur lambuk.

Sebanyak lima (5) periuk bubur lambuk telah dimasak. Bubur lambuk yang siap dimasak diedarkan kepada semua penduduk Taman Ixora. Satu (1) periuk bubur lambuk yang siap dibungkus telah diedarkan kepada pekerja kontrak (kongsi) Getrahome.

Sebanyak 80 bungkus bubur lambuk juga telah diedarkan kepada anak-anak yatim di Pusat Jagaan Baitus Sakinah Wal Mahabbah, Kota Warisan. Semoga sumbangan ikhlas ini mendapat keredhaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua penduduk Taman Ixora yang turut serta bergotong-royong memasak bubur lambuk. Semoga kudrat yang tuan-tuan berikan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala di bulan Ramadhan Al-Mubarak yang mulia ini.

Pihak pemaju perumahan Taman Ixora (Getrahome) telah memberikan sumbangan kewangan sebanyak RM1,750.00 untuk membiayai kos memasak bubur lambuk. Tadika Cendikiawan Educare turut menyumbang sebanyak RM200.00 untuk program ini. Terima kasih diucapkan. Terima kasih juga diucapkan kepada Tadika Cendekiawan Educare kerana telah memberikan kebenaran menggunakan kemudahan tempat, elektrik dan air.

Kos sebenar memasak bubur lambuk berkenaan adalah RM1,462.40 seperti berikut :-
- Banner - RM100.00
- Daging - RM425.00
- Barangan basah - RM45.00
- Barangan kering - RM391.85
- Santan - RM 140.00
- Perkakasan - RM123.05
- Gas memasak - RM 107.50
- Sewa periuk - RM100.00
- Bil telefon - RM30.00

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

1 ulasan:

  1. salam....tahniah kepada PPTI & KRT Ixora yg berssh-pyh menjayakn pgrmni..x lpa kpd wrga Ixora yg mybang tnaga & masa shinga saya dpt mrasa keanakan bbur lambuk pihak tuan2 smua.. tkasih x terhingga dri saya..

    BalasPadam