Selasa, 23 Februari 2010

Lawatan Panel Penilai Pertandingan Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Bagi Tahun 2009

Pada 23 Februari 2010 (Selasa) jam 10.30 pagi, pasukan Panel Penilai Pertandingan Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Bagi Tahun 2009 telah melakukan lawatan dan membuat penilaian di Taman Ixora. Pasukan panel berkenaan melakukan lawatan dengan menaiki sebuah bas Majlis Perbandaran Sepang.

Salah seorang daripada panel penilai pertandingan berkenaan adalah wakil daripada penduduk Taman Desa Makmur yang telah menjadi Johan Pertandingan Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Bagi Tahun 2008.

Diantara tinjauan atau penilaian yang dibuat ialah:-
1. Melawat kawasan sekitar dan menilai kebersihan Taman Permainan Kanak-kanak di Jalan Ixora 1/9
2. Menemuramah penduduk di rumah No. 36 dan No. 38 Jalan Ixora 1/9
3. Menemuramah penduduk di rumah No. 57 Jalan Ixora 1/2
4. Menemuramah Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Ixora

Setiausaha PPTI telah memberikan sedikit penerangan mengenai PPTI, aktiviti yang telah dijalankan oleh penduduk dan laman blog persatuan. Setiausaha telah memberikan 2 naskah Buletin Ixora kepada pasukan penilai berkenaan sebagai rujukan aktiviti yang telah dijalankan oleh penduduk sepanjang tahun 2009.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang telah memberikan kerjasama semasa sesi lawatan berkenaan dijalankan. Terima kasih juga diucapkan kepada pasukan penilai daripada Majlis Perbandaran Sepang yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang.

Sesi lawatan berakhir jam 11.15 pagi.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Khamis, 11 Februari 2010

Kerja-kerja Mencantas Pokok Di Simpang Masuk Taman Ixora

Pada 9 dan 10 Februari 2010, kontraktor yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Sepang telah mencantas pokok hiasan di kiri dan kanan pembahagi jalan simpang masuk ke Taman Ixora. Ini adalah tindakan susulan daripada aduan yang dikemukakan oleh persatuan pada 6 Februari 2010 selepas terjadinya insiden kemalangan disimpang berkenaan kerana jarak penglihatan dihalang oleh pokok hiasan berkenaan.

Walaubagaimanapun pihak persatuan memohon sekali lagi supaya jarak pokok yang dicantas adalah 100 meter kiri dan kanan pembahagi jalan disimpang berkenaan. Semoga tindakan mencantas pokok ini dilakukan dari semasa ke semasa tanpa menunggu aduan daripada penduduk terlebih dahulu. Cadangan menanam rumput hiasan di pembahagi jalan simpang berkenaan adalah lebih praktikal.

Pihak Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan terima kasih diatas keprihatinan pihak Majlis Perbandaran Sepang menyelesaikan aduan yang dikemukakan oleh penduduk. Semoga kerjasama yang diberikan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Ahad, 7 Februari 2010

Program Gotong Royong Serentak Taman Ixora


Penduduk Taman Ixora telah mengadakan Program Gotong Royong Serentak Taman Ixora seperti butiran berikut:-

Tarikh : 7 Februari 2010 (Ahad)
Masa : 8.00 Pagi - 11.30 Pagi
Lokasi : Persekitaran Rumah Dan Lorong Penduduk

Program ini telah dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Taman Ixora sebagai aktiviti pertama persatuan bagi tahun 2010. Tujuan program gotong royong ini diadakan adalah untuk:-
1. Membersihkan kawasan persekitaran Taman Ixora disamping merapatkan hubungan silaturrahim dikalangan penduduk.
2. Menyemai semangat kerjasama sebagai satu pasukan membersihkan kawasan persekitaran Taman Ixora.
3. Melakukan aktiviti yang sihat dan bermanfaat kepada penduduk serta menjadi amalan dalam hidup bermasyarakat.

Program ini juga diadakan sebagai persediaan Taman Ixora untuk menyertai pertandingan Taman Tercantik Daerah Sepang anjuran Majlis Perbandaran Sepang bagi tahun 2010. Tempoh pertandingan adalah mulai bulan Januari - Mac 2010.

Diantara aktiviti yang telah dilakukan oleh penduduk :-
1. Menurunkan semua banner, papan iklan, kertas iklan dan sticker yang terdapat di tiang-tiang elektrik, telefon, pokok dan sebagainya.
2. Membersihkan kawasan luar rumah, mengutip sampah dan membersihkan longkang.
3. Membersihkan Taman Permainan Kanak-Kanak

Alhamdulillah, program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Taman Ixora. Pihak Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan syabas dan tahniah kepada penduduk yang keluar bersama-sama menyertai program ini. Semoga berkat semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk ini, Taman Ixora akan sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah S.W.T dan kebersihan sentiasa menjadi amalan kita semua.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada pemaju (Getrahome Sdn. Bhd.) yang telah menyediakan kenderaan dan beberapa orang pekerja untuk mengangkut sampah yang telah dibersihkan oleh penduduk.

InsyaAllah program ini akan diadakan lagi pada masa hadapan dengan penyertaan yang lebih menyeluruh daripada penduduk Taman Ixora.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Jumaat, 5 Februari 2010

Lagi Insiden Kemalangan di Simpang Tiga Taman Ixora

Pada 4 Februari 2010 (Khamis), jam 2.40 petang satu insiden kemalangan telah berlaku di simpang tiga Taman Ixora yang melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Toyota Unser, Ford Ranger dan Myvi. Seorang penduduk Taman Ixora yang memandu Toyota Unser telah terlibat dalam insiden kemalangan berkenaan. Alhamdulillah beliau tidak mengalami sebarang kecederaan.

Adalah didapati simpang berkenaan merbahaya kepada kenderaan yang keluar masuk Taman Ixora. Pengguna terpaksa memerhatikan kiri dan kanan dengan teliti sebelum melintas. Penglihatan adalah terbatas kerana dihalang oleh landskap (pokok bunga hiasan di pembahagi kiri dan kanan jalan).

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengemukakan aduan rasmi kepada Majlis Perbandaran Sepang mengenai simpang berkenaan pada 16 September 2009. Pihak MPSp telah mengambil tindakan dengan mencatas sebahagian pokok hiasan yang dalam jarak 50 meter dari simpang berkenaan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengemukakan sekali lagi aduan rasmi kepada pihak MPSp semasa Program Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan pada 6 Februari 2010 (Sabtu), jam 11.00 pagi bertempat di Taman Dahlia. Aduan yang dikemukakan adalah untuk mempertimbangkan beberapa cadangan daripada penduduk iaitu:-
1. Membuang pokok bunga hiasan di pembahagi jalan sepanjang 100 meter di kiri dan kanan simpang jalan berkenaan.
2. Memasang lintasan belang bagi jarak 100 meter di kiri dan kanan simpang berkenaan bagi tujuan memperlahankan kenderaan yang menghampiri simpang berkenaan.
3. Membina bonggol di jalan utama berhampiran simpang berkenaan untuk memperlahankan kenderaan.
4. Memasang lampu isyarat di persimpangan jalan berkenaan.

Aduan berkenaan telah mendapat maklumbalas daripada pegawai Jabatan Lanskap dan Jabatan Kejuteraan. Berikut adalah maklumlabas berkenaan:-
1. Kerja-kerja membuang pokok akan dilakukan selewat-lewatnya 12 Februari 2010 (Jumaat) dalam jarak 100 meter kiri dan kanan jalan.
2. Cadangan bonggol tidak sesuai dibuat kerana membahayakan kenderaan yang melalui jalan utama.
3. Ketebalan Speed Breaker yang dipasang di laluan utama akan dipastikan mengikut spesifikasi Jabatan Kerja Raya.
4. Cadangan mewujudkan lampu isyarat disimpang berkenaan sedang dikaji kesesuaiannya. Sekiranya bersesuaian, lampu isyarat akan dipasang penghujung tahun ini.

Sila klik di sini untuk melihat lampiran borang aduan berkenaan.

Simpang tiga berkenaan menjadi sibuk pada waktu puncak dari jam 7.00 - 8.00 pagi dan 5.30 - 6.30 petang terutama apabila penduduk dari Taman Seroja, Dahlia dan Mawar menggunakan simpang berkenaan untuk mengikuti jalan pintas ke KLIA/ Putrajaya. Dimaklumkan simpang tiga ke KLIA/ Putrajaya (berhampiran pejabat lama MPSp) dan laluan masuk ke Setor GIANT telah dibuka kepada lalulintas pada 10 Januari 2010.

Penduduk Taman Ixora amat berharap aduan ini mendapat tindakan yang segera daripada pihak MPSp bagi mengelakkan kejadian yang tidak dingini ini berulang lagi pada masa akan datang.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Ahad, 31 Januari 2010

Perbincangan Status Pembinaan Balai Islam di Taman Ixora Dengan Pihak Pemaju

Pada 31 Januari 2010 (Ahad), jam 12.15 tengahari satu sesi perbincangan di antara wakil Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Pemaju (Getrahome) telah diadakan bertempat di Pejabat Jualan Getrahome, Jalan Ixora 1/9. PPTI telah diwakili oleh Pengerusi, Setiausaha, Pen. Setiausaha dan 2 orang AJK manakala pemaju diwakili oleh En. Zulkifli Bin Sahar, Pengarah Pembangunan Hartanah Getrahome membincangkan mengenai status pembinaan Balai Islam di Taman Ixora. Ini adalah perbincangan kali kedua mengenai status pembinaan Balai Islam di Taman Ixora.

Berikut adalah hasil daripada perbincangan tersebut:-
1. Pemaju memaklumkan tapak Balai Islam dan Dewan Serbaguna telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Sepang.
2. Anggaran kos pembinaan Balai Islam berkenaan adalah RM100,000.
3. Kos pembinaan akan ditanggung secara bersama di antara pemaju dan sumbangan penduduk. Dicadangkan perkongsian 50:50.
4. Persatuan akan melancarkan tabung untuk mengutip sumbangan daripada orang ramai, badan korporat, Ahli Parlimen, ADUN dan sebagainya untuk mengumpulkan dana sebanyak RM50,000.
5. Persatuan akan mengemukakan surat permohonan kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai pembinaan Balai Islam di Taman Ixora. Pihak pemaju akan mengemukakan surat sokongan mengenai permohonan berkenaan.
6. Kedua-dua pihak bersetuju menetapkan anggaran siap pembinaan Balai Islam pada bulan Ogos 2010.
7. Pemaju memberi jaminan tempoh siap untuk membina sebuah Balai Islam adalah 3 bulan daripada tarikh mula pembinaan.
8. Pihak pemaju telah mengemukakan contoh pelan Cadangan Membina Sebuah Surau di Jalan Kebun, Klang, Selangor sebagai rujukan persatuan.

Perbincangan berakhir jam 1.30 petang.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Jumaat, 29 Januari 2010

Bayaran Yuran Keahlian PPTI Secara Bank In

Persatuan Penduduk Taman Ixora menggalakkan ahli untuk membayar yuran keahlian secara Bank In ke dalam Akaun Bank Islam persatuan. Berikut adalah cara pembayaran tersebut:-

1. Semak jumlah yuran yang perlu dibayar melalui Penyata Yuran Keahlian PPTI.
2. Lakukan pembayaran.
- No Akaun : 05058010012095
- Nama Akaun : Persatuan Penduduk Taman Ixora BBST Sepang Selangor (2008)
3. Sila nyatakan Nama Penuh, No. Rumah, No. Jalan, Tarikh, Masa, No. Rujukan dan Jumlah Bayaran yang dibuat.
4. Emelkan maklumat berkenaan kepada tamanixora@gmail.com

Resit rasmi akan dikeluarkan kepada ahli setelah persatuan menerima penyata bulanan yang dihantar oleh pihak bank.

Peringatan : Yuran Keahlian Tahun 2010 hendaklah dijelaskan sebelum atau pada 21 Februari 2010.

Selasa, 26 Januari 2010

Operasi Cegah Maksiat Oleh JAIS di Taman Ixora

Pada 26 Januari 2010 (Selasa) jam 2.15 pagi, 5 orang anggota daripada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) telah melakukan operasi pencegahan maksiat di rumah No. 17, Jalan Ixora 1/3. Pihak JAIS telah berjaya menangkap 2 orang perempuan dan seorang lelaki yang bukan muhrim di rumah berkenaan. Penghuni rumah berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen yang mengesahkan mereka adalah suami isteri yang sah.

Mereka yang ditangkap berkhalwat berkenaan telah di bawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Sepang dengan menaiki van JAIS untuk siasatan lanjut. Serbuan berkenaan turut disertai oleh beberapa orang penduduk di Jalan Ixora 1/13 dan 1/1 yang melakukan rutin berjaga malam di pondok kejiranan One Ixora.

Serbuan berkenaan dibuat berdasarkan kepada intipan dan maklumat daripada jiran di Jalan Ixora 1/3. Penghuni rumah berkenaan juga telah diberi nasihat beberapa kali oleh jiran bersebelahan dan daripada pegawai JAIS sendiri sebelum ini. Walaubagaimanapun nasihat dan amaran berkenaan tidak dipedulikan oleh mereka.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah dan syabas kepada penduduk yang perihatin dengan gejala maksiat yang berlaku di taman kita ini. Bersama-samalah kita membanteras kejadian seperti ini daripada berlaku pada masa akan datang.