Ahad, 13 Mei 2012

Pemasangan Penghawa Dingin (Aircond) Surau

Dua unit penghawa dingin (aircond) telah dipasang di Surau Balai Islam Taman Ixora pada 12 Mei 2012 (Sabtu). Penghawa dingin berkenaan telah disumbangkan oleh seorang hamba Allah. Terima kasih diucapkan, semoga Allah memurahkan rezeki beliau dan keluarga.

Jumaat, 11 Mei 2012

Pemasangan Papan Tanda Surau Balai Islam Taman Ixora

Papan tanda Surau Balai Islam Taman Ixora telah dipasang pada 10 Mei 2012 (Khamis). Papan tanda berkenaan telah didermakan oleh seorang hamba Allah. Terima kasih diucapkan, semoga Allah memurahkan rezeki beliau dan keluarga.

Rabu, 9 Mei 2012

Pemasangan Bekalan Elektrik ke Surau Taman Ixora

Pada 7 dan 8 Mei 2012 (Isnin), kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menjalankan kerja-kerja bagi pemasangan bekalan elektrik ke Surau Balai Islam Taman Ixora. Semua peralatan elektrik yang telah dipasang seperti lampu, kipas dan plug telah diuji dan berfungsi dengan baik.
Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Selasa, 8 Mei 2012

Kerja-kerja Mengukur Karpet Surau

Pada 8 Mei 2012 (Selasa), wakil daripada syarikat Jakel Shah Alam telah datang membuat ukuran karpet di Surau Balai Islam Taman Ixora. Syarikat berkenaan telah dilantik oleh Pusat Zakat Selangor yang telah meluluskan peruntukan untuk membiayai kos pemasangan karpet di surau. Terima kasih diucapkan kepada Pusat Zakat Selangor. Karpet berkenaan akan dipasang dalam tempoh dua minggu setelah mendapat pengesahan warna dan corak karpet. AJK surau telah bersetuju dengan cadangan warna hijau untuk karpet surau. Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Isnin, 7 Mei 2012

Barbeque dan Majlis Suai Kenal Penduduk Jalan Ixora 1/14, 1/15, 1/16 dan 1/17

Pada 5 Mei 2012 (Sabtu), jam 9.30 malam, penduduk Jalan Ixora 1/14, 1/15, 1/16 dan 1/17 (SRS Zon C, KRT Taman Ixora) telah mengadakan barbeque sempena majlis suai kenal di antara penduduk. Penduduk Jalan Ixora 1/16 dan 1/17 baru berpindah masuk mulai awal tahun 2012. Majlis ini adalah merupakan pertemuan pertama kali diantara satu satu sama lain. Masing-masing telah bertukar nombor telefon dan bergotong-royong memasak makanan. Majlis telah dihadiri oleh lebih kurang 30 orang penduduk bersama keluarga.

Pada majlis berkenaan, pihak Polis juga telah dijemput untuk memberikan sedikit taklimat dan pendedahan mengenai isu-isu keselamatan di Taman Ixora. Ini adalah lanjutan daripada berlakunya kejadian pecah rumah di empat buah rumah di Jalan Ixora 1/17 pada awal bulan April yang lalu.

Sedikit taklimat mengenai Persatuan Penduduk Taman Ixora turut diberikan oleh Setiausaha PPTI mengenai pentingnya penduduk menyertai persatuan. Pelbagai aktiviti untuk faedah bersama telah dirancang oleh PPTI untuk manfaat semua penduduk Taman Ixora. Pada malam itu juga seramai tujuh orang penduduk telah menyerahkan borang keahlian.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan tahniah kepada penduduk jalan berkenaan yang telah mengambil inisiatif untuk beramah mesra diantara satu sama lain dan bekerjasama menyalurkan maklumat sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini di kawasan kejiranan berkenaan. Semoga aktiviti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan penduduk Taman Ixora.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Taman Ixora vs Taman Bunga Raya


Satu perlawanan bola sepak persahabatan di antara Taman Ixora dan Taman Bunga Raya telah diadakan pada butiran berikut:

Tarikh : 5 Mei 2012 (Sabtu)
Masa : 5.30 petang
Tempat : Padang Bola Sepak Taman Bunga Raya

Pemain bola sepak Taman Ixora telah diwakili oleh penduduk Taman Ixora dan beberapa orang staf USIM. Manakala pemain bola sepak Taman Bunga Raya diwakili oleh penduduk taman itu sendiri. Tujuan perlawanan persahabatan ini diadakan untuk menjalinkan hubungan ukhuwah di antara penduduk berhampiran melalui aktiviti sukan. Perlawanan berkenaan telah dimenangi oleh Taman Bunga Raya dengan keputusan 4-3. Perlawanan ini adalah anjuran Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Isnin, 23 April 2012

Lagi Kejadian Pecah Rumah di Taman Ixora

Satu lagi kejadian pecah rumah dan samun telah berlaku di rumah No. 25, Jalan Ixora 1/5, Taman Ixora pada 21 April 2012 (Sabtu), jam 2.30 pagi. Penghuni rumah berkenaan telah diikat oleh tiga(3) orang penyamun. Dilaporkan kehilangan sejumlah harta benda termasuk barang kemas. Kejadian berkenaan telah dilaporkan kepada pihak POLIS yang tiba sejurus kemudian bersama Unit K9 (anjing pengesan). Pihak POLIS telah melakukan serbuan ke kawasan hutan berhampiran. Kejadian berkenaan turut disedari oleh penduduk yang menjalankan rondaan Skim Rondaan Sukarela, Kawasan Rukun Tetangga Taman Ixora. Penduduk yang bertugas pada malam itu turut membantu pihak POLIS semasa kejadian berlaku.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengajak penduduk Taman Ixora supaya sentiasa berhati-hati mengenai soal keselamatan. Sentiasa memastikan rumah berkunci dan berwaspada dengan individu yang berada di sekitar kawasan rumah atau jiran berdekatan. Laporkan kepada pihak POLIS sekiranya terdapat keadaan yang mencurigakan.