Khamis, 19 Julai 2012

Mesyuarat Jawatankuasa Penaja Surau Balai Islam Taman Ixora Bil. 1/2012

Mesyuarat Jawatankuasa Penaja Surau Balai Islam Taman Ixora Bil. 1/2012 telah diadakan seperti butiran berikut:

Tarikh : 18 Julai 2012 (Rabu)
Masa : 9.30 malam
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora

Berikut adalah keputusan mesyuarat:-
1.Jawatankuasa Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora telah dibubarkan dan Jawatankuasa Penaja Surau Balai Islam Taman Ixora telah mengambil alih mulai 18 Julai 2012. Jawatankuasa Penaja mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Jawatankuasa Pembinaan yang telah melaksanakan tugas dengan jayanya sehingga sebuah surau berjaya dibina di Taman Ixora.
2. Status pembinaan pencawang telekomunikasi di tapak surau masih diperingkat kajian oleh syarikat. Sekiranya diluluskan surau akan mendapat pulangan sewa sebanyak RM2,200 sebulan bagi tempoh 15 tahun.
3. Peti besi surau telah dibeli melalui sumbangan AJK surau sebanyak RM100 seorang.
4. Solat terawih sebanyak 20 rakaat akan diadakan di surau.
5. Berbuka puasa dan moreh akan diadakan setiap hari di surau dan akan ditaja oleh setiap lorong mengikut giliran. Individu yang ingin menaja juga dialukan.
6. Surau telah melantik dua (2) orang tahfiz untuk mengimamkan solat terawih di surau. Kadar bayaran dan sumbangan kepada tahfiz berkenaan akan ditentukan kelak berdasarkan kepada sumbangan orang ramai.
7. Tadarus al-Quran akan diadakan setiap malam di surau selepas solat terawih.
8. Tazkirah selepas solat terawih akan diadakan seminggu sekali. Pada malam tazkirah solat terawih akan diadakan sebanyak lapan rakaat sahaja.
9. Qiyamulail akan diadakan di surau pada 10 malam terakhir Ramadhan. Makanan sahur akan disediakan kepada jemaah.
10. Majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan khatam al-Quran akan diadakan pada malam Nuzul al-Quran iaitu 5 Ogos 2012 (Ahad) malam.
11. Gotong royong membersihkan surau untuk persediaan Ramadhan akan diadakan pada 19 Julai 2012.
12. Program memasak bubur lambuk di surau akan diadakan tiga kali Sabtu iaitu 28 Julai, 4 dan 11 Ogos 2012. Program ini adalah anjuran bersama surau, Persatuan Penduduk Taman Ixora dan KRT Taman Ixora.

Mesyuarat berakhir jam 11.30 malam.

2 ulasan:

  1. Renungan
    Mesra
    Islam memberikan persekitaran yang mesra dan selesa kepada perkembangan seseorang anak. Islam tidak pernah melayankan kanak-kanak dengan layanan yang hina seperti yang dilakukan oleh sebahagian ahli masjid. Islam tidak pernah menjadikan anak kecil penghalang antara seorang dengan Allah. Kata Abu Qatadah al-Ansari:
    “Rasulullah s.a.w pernah solat sambil mendukung Umamah binti Zainab binti Rasulillah, anak kepada (suaminya) Abi al-‘As bin Rabi’ah bin ‘Abd Shams. Apabila baginda mahu sujud baginda meletakkannya. Apabila bangun baginda mendukungnya kembali” (Riwayat al-Bukhari).

    Dihalau Ke Belakang
    Kita mendengar kanak-kanak yang sudah pun boleh bersolat dihalau oleh orang tua ‘berlagak pandai’ ke belakang. Kemudian menengking anak-anak kerana tidak serius dalam solat. Apa tidaknya, mereka bersama saf dengan kanak-kanak yang lain. Tentu kenakalan itu kadang-kala muncul. Jika mereka duduk di samping bapa mereka tentu mereka dapat dididik adab solat berjemaah. Untuk menghalalkan perbuatan tidak mesra kanak-kanak itu dipilihlah fatwa yang menyatakan kanak-kanak belum berkhatan itu najis. Satu saf akan batal sebab bawah kulit kanak-kanak itu ada najis.
    Saya selalu bertanya: “apakah bawah kulit orang tua dan dalam perut orang tua tiada najis?!! Jangan memilih pendapat-pendapat fekah yang menyusahkan dan menghilangkan semangat dakwah Islam sedangkan kita mempunyai banyak pilihan pendapat yang lebih munasabah.
    Ketika Ibn ‘Abbas masih kanak-kanak, beliau bercerita:
    “..Rasulullah bangun bersolat malam aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda (Riwayat al-Bukhari).
    Kata Anas bin Malik :
    “…Rasulullah berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda. Sementara wanita tua berada di belakang kami”. (Riwayat al-Bukhari).
    Adapun hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang menyatakan Rasulullah menjadikan saf lelaki dewasa di hadapan kanak-kanak, hadis itu daif dari segi sanadnya.

    Didik
    Solat diingati bersama hubungan kasih sayang ibubapa yang berbicara dan memujuknya setiap kali azan berkumandang. Mungkin pelbagai upah dan janji diberikan. Tidak dipukul melainkan setelah tiga tahun melalui tempoh ini. Jika dia dipukul pun setelah berusia sepuluh tahun, dia akan faham itu adalah pukulan kasih dan cinta. Dia bermesra dengan bapanya yang akan membawanya ke tempat solat. Dia mempelajarinya dari pelajaran dan teladan.
    Jika bapanya bersolat di masjid dia bersama bapanya bersolat. Dia memerhati dan melihat pergerakan bapanya. Bagaimana rukuk, sujud dan segala pergerakan yang lain. Jika dia dihalau jauh ke belakang bersama anak-anak lain yang tidak tahu sepertinya, apakah yang dapat dia pelajari?! Ada masjid menempatkan saf kanak-kanak bagaikan ‘makhluk jijik’ yang tidak boleh sentuh. Kemudian mereka mungkin bising sesama mereka, maka akan ada orang dewasa yang menengking dan menghalau mereka balik.
    Bahkan perbuatan orang tua menghalau kanak-kanak dari saf dan mengambil tempat mereka telah menyanggahi adab Islam yang diajar oleh Nabi s.a.w
    “Jangan seseorang membangunkan orang lain dari tempatnya, kemudian dia duduk di situ” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
    Perbuatan menyakitkan hati bapanya, merisaukannya dan menjadikan anak-anak yang sudah tahu bersolat itu merasa betapa mereka tidak diraikan dalam agama ini.
    Maaf anakku, mereka itu tidak mesra denganmu! Namun, itu bukan ajaran Nabimu…

    PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis dan kini zamil di Universiti Oxford

    BalasPadam
  2. setuju betul dgn komen tuan

    BalasPadam