Isnin, 28 Februari 2011

Majlis Ramah Mesra (Dialog) Bersama Penduduk Taman Ixora dan Getrahome

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra(Dialog) Bersama Penduduk Taman Ixora dan Getrahome (Pemaju) pada butiran berikut:-

Tarikh : 27 Februari 2011 (Ahad)
Masa : 11.30 Pagi - 12.30 Tengahari
Tempat : Dataran Serbaguna Taman Ixora

Majlis ini dianjurkan untuk menyediakan peluang kepada penduduk Taman Ixora mengemukakan sebarang isu atau komen mengenai rumah dan kawasan perumahan Taman Ixora kepada pemaju perumahan (Getrahome). Disamping itu pihak pemaju boleh mendapatkan input daripada penduduk untuk menambahbaik mutu perumahan bagi projek yang akan datang.

Berikut adalah soalan atau isu yang dikemukakan oleh penduduk dan maklumbalas daripada pihak pemaju:-

1. Hj. Mohd Noor (No. 21, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai status pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora.

Maklumbalas Pemaju:
- Dokumen untuk kelulusan surau oleh MPSp sedang disediakan oleh pihak pemaju. Pelan IWK dan Pelan Susun Atur Bangunan merupakan dokumen tambahan yang diminta oleh MPSp dan akan disediakan selewat-lewatnya minggu hadapan. Pihak MPSp memaklumkan proses kelulusan adalah sebulan daripada tarikh penyerahan dokumen.

2. Mohd Khuzairi (No. 113, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai jalan pintas daripada Taman Ixora ke Pejabat Veterinar. Laluan berkenaan tidak rata dan berlubang di simpang tangki air SYABAS.

Maklumbalas Pemaju:
- Penyediaan jalan pintas berkenaan sebenarnya adalah di luar bidang kerja Getrahome. Walaubagaimanapun laluan berkenaan akan ditambahbaik selepas pembangunan Fasa 2 disiapkan sepenuhnya.

3. Abdul Rashid Abd Malek (No. 5, Jalan Ixora 1/5) mengemukakan soalan mengenai rumah yang telah merekah dan gangguan pendawaian elektrik di dalam rumah.

Maklumbalas Pemaju:
- Tempoh waranti rumah yang disediakan oleh pemaju adalah 2 tahun. Pihak pemaju tidak bertanggungjawab di atas masalah yang melebihi daripada tempoh berkenaan kecuali bagi kes yang berulang.

4. Hj. Ismail Muit (No. 48, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai:
i) bayaran Duti Setem dan Pertukaran Hak Milik daripada Getrahome kepada pembeli yang dikenakan selepas rumah siap diduduki melebihi 2 - 3 tahun;
ii) kenapa rumah yang menghadap kawasan lapang dikenakan harga jualan yang lebih; dan
iii) penghuni Jalan Ixora 1/2 menghadap tembok sedangkan di atas lakaran pelan tidak ditunjukkan tembok berkenaan. Sepatutnya pihak pemaju hendaklah memaklumkan perkara ini terlebih awal kepada penduduk dan memohon diberikan rebat.

Maklumbalas Pemaju:
i) Pemaju memaklumkan semasa peringkat awal pembelian rumah status hak milik tanah adalah geran induk. Apabila geran berkenaan telah dipecahkan kepada lot pembeli, pembeli hendaklah membayar kos duti setem dan pertukaran hak milik kepada Peguam untuk menyelesaikan proses tukar hak milik berkenan. Perkara ini telah dimaklumkan kepada pembeli sebelum proses perjanjian jual beli ditandatangani.
ii) Rumah yang menghadap kawasan lapang memang dikenakan harga rumah yang lebih tinggi kerana penduduk berkenaan menikmati pemandangan kawasan lapang dan sebaliknya.
iii) Pemaju memaklumkan terdapat perubahan kepada pelan susun atur keseluruhan Taman Ixora dan mengakui masalah berkenaan. Walaubagaimanapun pemberian rebat yang diminta oleh penduduk tidak dapat dilakukan oleh pemaju.

5. En. Asfar (No. 35, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai banjir yang berlaku pada tahun 2009 di rumah No. 35 dan 37, Jalan Ixora 1/2)

Maklumbalas Pemaju:
- Pemaju memaklumkan beberapa orang pekerja telah dihantar untuk membantu membersihkan rumah selepas kejadian berlaku. Pihak perunding telah melakukan lawatan tapak dan mencadangkan untuk membina terusan di longkang Jalan Ixora 1/7 untuk mengalihkan pengaliran air. Pihak pemaju memohon maaf di atas masalah yang telah berlaku dan memohon penduduk supaya memaklumkan kepada Getrahome sekiranya masalah ini berlaku lagi pada masa hadapan.

6. En. Zainal Abidin (No. 6, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai longkang tersumbat di belakang rumah Jalan Ixora 1/2

Maklumbalas Pemaju:
- Pihak pemaju memaklumkan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan longkang tersumbat adalah dibawah tanggungjawab MPSp selepas diserah kepada MPSp. Walaubagaimanapun bagi kes ini lawatan tapak akan dilakukan bagi mengenalpasti masalah yang sebenarnya berlaku.

7. En. Salleh Sufian (No. 7, Jalan 1/10) mengemukakan soalan mengenai:
i) jalan belakang rumah Jalan Ixora 1/10 yang lebih tinggi daripada rumah menyebabkan berlaku limpahan air ke dalam rumah;
ii) masalah pendawaian elektrik di dalam rumah;
iii) kekuda bumbung rumah dimakan anai-anai; dan
iv) tangki air rumah pecah/bocor disebabkan oleh konkrit slap yang tidak rata dan berbatu di bawah tangki air.

Maklumbalas Pemaju:
i) Pihak pemaju memaklumkan bagi kes jalan belakang lebih tinggi daripada rumah perbincangan lanjut akan dilakukan bagi mengatasi masalah berkenaan.
ii) Pihak pemaju sentiasa mematuhi standard elektrikal yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi pemasangan di dalam rumah. Kemungkinan masalah elektrikal yang dikemukakan adalah disebabkan oleh sub kontraktor pemasangan elektrik yang dilantik. Pihak pemaju akan membuat semakin lebih lanjut mengenai masalah ini.
iii) Pihak pemaju memaklumkan semburan anai-anai telah dilakukan di seluruh kawasan perumahan Taman Ixora sebelum projek dibangunkan. Pihak pemaju akan menyemak dengan lebih lanjut status semburan anai-anai di Jalan Ixora 1/10.
iv) Pihak pemaju memaklumkan masalah berkenaan tidak sepatutnya berlaku. Walaubagaimanapun bagi fasa perumahan baru di Taman Ixora pihak pemaju telah melakukan konkrit slap di sekeliling tangki air bagi mengelakkan berlakunya limpahan air daripada tangki.

8. Hj. Mohd Noor (No. 21, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai status pembinaan sign board Taman Ixora sebagai Taman Perumahan Terbaik Daerah Sepang Tahun 2009.

Maklumbalas Pemaju:
- Pihak pemaju sedang meneliti beberapa design dan sebutharga daripada syarikat pembekal. Sign board berkenaan akan dipasang dalam waktu terdekat.

9. En. Mohd Hasiady (No. 119, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai status penyelenggaraan lampu spot light di Taman Permainan Kanak-kanak Taman Ixora kerana telah dimaklumkan oleh MPSp penyelenggaraan berkenaan bukan dibawah seliaan MPSp.

Maklumbalas Pemaju:
- Pemaju memaklumkan pihak MPSp sepatutnya menyelanggara lampu spot light berkenaan kerana penyelenggaraan kawasan Taman Permainan berkenaan telah diserahkan sepenuhnya kepada MPSp.

10. Pn. Rohaya (No. 57, Jalan Ixora 1/2) mengemukakan soalan mengenai:
i) beberapa rumah di Jalan Ixora 1/2 dimakan anai-anai;
ii) berlaku keretakan rumah berulang selepas aduan dibuat dan dibaiki; dan
iii) pintu bilik air di tingkat atas berlaga dengan pintu bilik apabila dibuka menyebabkan tombol pintu rosak.

Maklumbalas Pemaju:
i) Pemaju memaklumkan akan mengambil perhatian mengenai masalah berkenaan dan lawatan ke rumah beliau akan dilakukan dalam waktu terdekat bagi mengenalpasti masalah.
ii) Pihak pemaju akan melakukan lawatan tapak bagi melihat keretakan rumah yang dimaksudkan.
iii) Pemaju memaklumkan masalah berkenaan akan dilihat dengan lebih lanjut selepas lawatan tapak dilakukan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan