Sabtu, 3 Ogos 2013

Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Majlis Khatam Al-QuranTaman Ixora

Surau Balai Islam Taman Ixora telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Majlis Khatam Al-Quran pada butiran berikut:

Tarikh : 2 Ogos 2013 (Jumaat)
Masa : 6.45 Petang
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora

Tentatif aturcara pada majlis berkenaan adalah seperti berikut:
- Ketibaan penduduk dan tetamu jemputan
- Tahlil arwah
- Penyampaian sumbangan duit raya dan sumbangan kepada rumah anak yatim
- Berbuka puasa
- Solat Maghrib berjemaah
- Majlis Khatam Al-Quran
- Solat Isyak dan solat terawih berjemaah
- Jamuan morah

Majlis berkenaan telah dihadiri oleh 30 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim Baitus Sakinah, Kota Warisan, Sepang dan penduduk Taman Ixora.

Terima kasih diucapkan kepada Getrahome Sdn Bhd yang telah memberikan sumbangan bagi menjayakan majlis berkenaan. Semoga mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Sila klik di sini untuk melihat gambar majlis berbuka puasa.

Sila klik di sini untuk melihat gambar majlis khatam al-Quran.

Rabu, 31 Julai 2013

Penduduk Cantas Pokok di Jalan Ixora 1/1, Taman Ixora

Pada 30 Julai 2013, beberapa orang penduduk di Jalan Ixora 1/1 telah mengambil tindakan mencantas beberapa pokok yang besar dan merbahaya di Jalan Ixora 1/1. Tindakan berkenaan diambil kerana penduduk bimbangkan keselamatan rumah dan nyawa ahli keluarga sekiranya pokok berkenaan tumbang atau dahan yang tinggi patah menghempap perumahan atau kenderaan yang di parkir di tepi jalan.

Pihak berwajib tidak mengambil tindakan mencantas pokok di jalan berkenaan sehinggakan pokok tumbuh tinggi dan merbahaya kepada keselamatan. Beberapa aduan telah dibuat kepada Majlis Perbandaran Sepang tetapi pihak MPSp menyalahkan pihak pemaju yang belum menyerahkan secara rasmi pokok-pokok di jalan berkenaan untuk diselenggara oleh pihak MPSp.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Isnin, 29 Julai 2013

Lagi Kejadian Pecah Rumah di Taman Ixora

Pada 28 Julai 2013 (Ahad), anggaran jam 6.30 petang hingga 10.00 malam berlaku satu lagi kejadian pecah rumah di kejiranan Anjung Ixora, Taman Ixora. Semasa kejadian pemilik rumah tiada di rumah kerana keluar berbuka puasa bersama keluarga di luar. Kejadian disedari oleh pemilik rumah yang baru sahaja pulang ke rumah.

Sejumlah wang tunai dan barangan dilaporkan hilang oleh pemilik. Dilaporkan juga pemilik rumah berkenaan baru sahaja memasang CCTV pada dua minggu lepas. Walaubagaimanapun DVR yang merekodkan CCTV berkenaan turut dicuri. Kejadian berkenaan telah dilaporkan kepada pihak Polis yang tiba tidak lama kemudian.

Persatuan Penduduk Taman Ixora menasihatkan penduduk supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan dengan mengawasi keadaan persekitaran sekiranya terdapat individu yang tidak dikenali, memastikan pintu dan tingkap sentiasa dikunci. Telefon pihak Polis sekiranya terdapat keadaan yang mencurigakan.

Selasa, 23 Julai 2013

Program Memasak Bubur Lambuk Taman Ixora Kali Ke-2

Persatuan Penduduk Taman Ixora dengan kerjasama KRT Taman Ixora dan Surau Balai Islam Taman Ixora
telah mengadakan program  memasak bubur lambuk kali ke-2 pada butiran berikut:

Tarikh : 22 Julai 2013 (Sabtu)
Masa : 9.30 Pagi hingga 3.30 Petang
Tempat : Surau Balai Islam Taman Ixora

Bubur lambuk yang telah masak akan diedarkan kepada penduduk Taman Ixora.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Khamis, 18 Julai 2013

Lagi Kejadian Pecah Rumah di Taman Ixora

Pada 17 Julai 2013 (Rabu), anggaran jam 7.00 petang hingga 11.00 malam berlaku satu kejadian pecah rumah di No. 31, Jalan Ixora 1/10, Taman Ixora. Kejadian berkenaan disedari oleh pemilik rumah apabila pulang dari tempat kerja jam 11.30 malam. Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Salak Tinggi dan pihak Polis tiba sejurus kemudian.

Penyamun memecahkan pintu sliding door untuk memasuki rumah berkenaan. Pemilik rumah melaporkan kehilangan sejumlah wang tunai dan peralatan komputer.

Persatuan Penduduk Taman Ixora menasihati semua penduduk Taman Ixora supaya sentiasa memastikan pintu dan tingkap rumah dikunci dengan sebaiknya dan sentiasa berwaspada dengan kawasan persekitaran rumah. Sekiranya terdapat kenderaan atau individu yang tidak dikenali di kawasan sekeliling rumah sila hubungi pihak Polis untuk tindakan lanjut.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Isnin, 15 Julai 2013

Pemasangan CCTV di Taman Ixora

Kerja-kerja pemasangan CCTV di laluan masuk Taman Ixora telah siap sepenuhnya pada 13 Julai 2013. Sebanyak 8 kamera telah ditempatkan di kawasan yang strategik untuk memastikan semua kenderaan yang keluar dan masuk ke Taman Ixora dirakamkan. Rakaman berkenaan akan disalurkan kepada pihak PDRM sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini seperti pecah rumah, samun dan sebagainya. Semoga rakaman CCTV berkenaan dapat membantu PDRM menjalankan siasatan terperinci kes yang dilaporkan.

Kos pemasangan CCTV berkenaan yang berjumlah RM7,500 dibiayai melalui peruntukan geran oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) kepada Persatuan Penduduk Taman Ixora. Terima kasih kepada Kerajaan yang perihatin kepada rakyat.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.

Ahad, 14 Julai 2013

Insiden Dahan Pokok Tumbang di Taman Ixora

Pada 13 Julai 2013 (Sabtu), anggaran jam 4.30 petang berlaku insiden sebatang dahan pokok tumbang di Jalan Ixora 1/1 semasa hujan lebat dan ribut di Taman Ixora. Dahan pokok berkenaan telah menimpa pagar dan bumbung sebuah rumah yang dijadikan Tadika (Tadika Cendekiawan). Kerja-kerja pembersihan telah dilakukan oleh kontraktor MP Sepang pada keesokan hari jam 8.30 pagi.

Insiden ini berlaku kerana tiada kerja-kerja mencantas pokok dijalankan oleh Majlis Perbandaran Sepang di Taman Ixora. Pokok di Jalan Ixora 1/1 didapati tinggi dan merbahaya kepada keselamatan penduduk. Beberapa aduan telah dikemukakan oleh penduduk sebelum ini kepada MP Sepang tetapi tiada tindakan yang diambil.

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengemukakan aduan rasmi kepada MP Sepang pada 17 Julai 2013 dengan nombor aduan 19517. Persatuan Penduduk Taman Ixora akan mengambil tindakan lanjut sekiranya masih tiada tindakan segera diambil oleh MP Sepang.

Sila klik di sini untuk melihat gambar.